BINA KELUARGA, BUDAYAKAN KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN

Kita perlu mewujudkan ekosistem ibu dan ayah yang berperanan baik dalam membina keluarga. Istilah keibubapaan bukan sekadar ilmu dan maklumat, tetapi pembudayaan.

Demikian kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid ketika dihubungi apabila ditanya pandangan beliau, sempena program penganjuran World #QuranConvention “Fatherless Home”.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Konvensyen anjuran Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Sinar Harian dijangkakan diadakan pada 18 dan 19 Disember ini secara hibrid. Ia bertujuan mengangkat martabat ayah sebagai ketua keluarga dan pemimpin masuk syurga.

Tambah beliau, dalam al-Quran banyak menyebut ibu bapa. Walaupun dalam hadis ada menyebut syurga di bawah tapak kaki ibu dan menggambarkan peranannya, tetapi ia tidak menafikan peranan bapa.

“Masalah yang berlaku hari ini adalah kegagalan ibu bapa dalam memainkan peranan mereka untuk membimbing keluarga. Mereka kurang kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak kerana tiada pembelajaran secara formal dalam institusi keluarga mahupun pendidikan.

“Kursus perkahwinan disediakan bagi bakal pengantin, tetapi malangnya kursus tersebut seringkali menjadi sesi jenaka para penceramah dalam membawa topik poligami dan seks. Sedangkan peserta tiada diberikan pengisian yang jelas mengenai kemahiran mendidik anak dan mencari rezeki.

“Di Switzerland, semua pasangan yang belum mendapat anak diwajibkan mengikuti kursus pendidikan anak. Jika negara kita mahu menjayakan Keluarga Malaysia, perkara pembinaan keluarga perlu diambil serius. Ini melibatkan kerjasama para pendidik, pakar keibubapaan, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin, dan masyarakat dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.”

Mahmood Zuhdi berkata, dalam al-Quran, perkataan ayah banyak disebut dalam kisah nabi termasuk Nabi Yusof dan Nabi Ibrahim. Ia merujuk kepada peranan sebagai ketua keluarga. Kisah Luqman Hakim bukanlah digambarkan sebagai ayah, tetapi orang bijak pandai yang memberi pengajaran kepada orang lain.

“Kisah ayah dalam al-Quran dan Sunnah menunjukkan tanggungjawab menjaga anak.
Dalam kisah Nabi Ibrahim, anak membetulkan ayahnya yang menyimpang daripada jalan ALLAH.

“Manakala kisah Nabi Isa tanpa ayah menunjukkan ibu juga mempunyai tanggungjawab mendidik anak dan membina keluarga.

“Sekiranya menjadi ibu tunggal atau bapa tunggal, mereka perlu mengambil semua tanggungjawab, iaitu dialah ibu dan dialah bapa. Kita tidak memisahkan tanggungjawab antara ibu dan bapa.

“Kedua ibu bapa berkongsi dalam membina kebahagiaan rumahtangga. Jika bapa dari keluarga susah terpaksa mencari rezeki dari pagi hingga ke malam, maka ibu perlu mengambil peranan mendidik anak,” katanya.

Sementara itu, beliau mensarankan golongan orang beragama untuk menggunakan pendekatan yang baharu dalam memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Sistem pendidikan di negara memperkenalkan agama Islam sebagai kurikulum rasmi sejak zaman awal pendidikan.

Kini pelbagai platform media seperti televisyen, radio, akhbar mahupun media sosial boleh digunakan untuk menyampaikan ilmu agama seiring dengan perkembangan semasa.

“Media memainkan peranan penting dalam menonjolkan isu agama dalam berbuat baik dan cegah kemungkaran. Pihak media perlu membangkitkan isu yang membawa kebaikan, dan bukannya memfokus isu kemungkaran sehingga menimbulkan selera anak remaja untuk meniru.

Majlis Dakwah Negara (MDN) memfokuskan pendekatan islah dan tajdid iaitu pembaikan dan pembaharuan dalam menangani isu agama.

“Saya ingin mencadangan jabatan agama Islam, agensi dan seluruh masyarakat perlu diberi pendekatan baharu agar berlaku perubahan lebih cepat. Contohnya, produk arak Timah berlaku kerana ada pihak mengambil kesempatan atas perpecahan orang Melayu.

“Oleh itu, kita perlu ada golongan musleh yang menggalas tanggungjawab bersama atau fardu kifayah untuk membantu ummah. Menjadi musleh mujadid, rezeki jaminan ALLAH tidak hilang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program World #QuranConvention 2021, sila layari Facebook Cerita Tentang Ayah.

Similar Posts

Leave a Reply