Oleh: FIFFY NUR ADILA BINTI MOHAMED FEROZ
Al-Quran adalah kitab panduan buat seluruh umat manusia yang mengandungi pelbagai solusi terhadap permasalahan hidup. Kalam ALLAH juga menjadi penyembuh kepada penyakit hati dan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat.
TickTalk TV mengambil inisiatif untuk mewujudkan platform untuk wanita berinteraksi dengan al-Quran melalui program Terapi al-Quran bermula 25 Julai 2021. Program tersebut mensasarkan golongan Hawa yang tekanan dan kemurungan ketika menghadapi pelbagai ujian dan cabaran hidup.
Pengisian Terapi Al-Quran adalah memfokuskan segmen Tarbiah Tajwid, Tasbih & Istighfar serta menelusuri kisah tokoh wanita Islam yang telah dijanjikan syurga oleh ALLAH SWT.
Tanggal 8 Ogos 2021, TickTalk TV dengan kerjasama Unit Kaunseling, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan program Terapi al-Quran dengan membawa perbincangan kepada “Tajwid as the Therapy of the the Heart & The Amazing Khadijah binti Khuwailid” dengan menampilkan Ketua Pegawai Latihan Brainjeem merangkap Pembimbing Program Terapi al-quran, Ustazah Nurliyana Baudin .
Program ini diadakan bersempena dengan “IIUM Grand Mental Health Month Programme 2021” sebagai usaha dalam mewujudkan sistem sokongan yang baik dan bermanfaat bagi menangani masalah kesihatan mental.
Sesi yang dijalankan selama sejam ini bermula pada 8.30 malam, menggunakan platform Facebook CCSC IIUM dan TickTalk TV sebagai medium utama.
Ketua Pegawai Latihan Brainjeem, Ustazah Nurliyana Baudin yang berkongsi ilmu berkata, signifikasi pengukuhan tajwid mampu menjadi terapi kepada jiwa wanita. Dengan penguasaan tajwid, ia dapat mengaktifkan kepekaan otak kanan dan kiri, sekaligus mempercepatkan pemprosesan maklumat.
“Kepekaan yang lahir daripada otak dapat membantu manusia mempersiapkan diri dengan apa yang bakal dihadapi dalam kehidupan seharian. Perkara ini sedikit sebanyak akan menjadi terapi kepada wanita agar lebih bersedia dalam menghadapi cabaran kehidupan,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi kisah Khadijah binti Khuwailid, isteri kepada Rasulullah SAW yang menjadi inspirasi wanita di luar sana dengan sikapnya yang sangat cekal dan tabah dalam menghadapi segala ujian dan dugaan daripada ALLAH SWT.
“Khadijah RA mencapai tahap kepuasan dan kejayaan tertinggi setelah memeluk Islam melalui solat dan sabar. Ini membuktikan kedua-dua aspek ini sangat penting untuk mendorong wanita ke arah lebih baik dan mampu menghadapi liku-liku kehidupan dengan tenang.”
Impak terhadap program ini dapat dilihat melalui maklum balas yang sangat positif hasil perkongsian daripada Ustazah Nurliyana Baudin, sehingga ada kalangan peserta yang ingin mengikuti kelas tajwid yang telah dikendalikan oleh Ustazah Nurliyana secara peribadi.