Pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan, umat Islam diberikan peluang yang amat besar untuk membersihkan jiwa, memperbanyak amalan, dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Bulan ini bukan hanya waktu untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga merupakan latihan rohani yang mendalam untuk memperbaiki diri.
Namun, di sebalik segala kebaikan yang dijanjikan, ada satu peringatan penting yang harus direnungkan oleh setiap Muslim, “Jangan sekali-kali berusaha untuk membuka pintu neraka di bulan yang mana pintu syurga sudah terbuka luas dan pintu neraka tertutup rapat.”
Dalam khutbah ini, diingatkan betapa berharganya kesempatan yang ALLAH SWT berikan dengan masih mengizinkan kita untuk merasai bulan Ramadan. Setiap hari hidup adalah peluang untuk memperbaiki diri dan mengumpul kebaikan. Ramai yang tidak sempat bertemu Ramadan kerana sudah dijemput kembali kepada ALLAH. Oleh itu, kita yang masih diizinkan hidup harus bersyukur dan memanfaatkan bulan ini sebaik mungkin.

Dalam sejarah Islam, terdapat banyak peristiwa dan kisah yang membawa hikmah yang dijadikan panduan hidup. Dalam Hadis, Saidina Umar RA bercerita ketika para sahabat duduk bersama Nabi Muhammad SAW dalam satu majlis. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak mereka kenali dalam keadaan pakaian putih bersih dengan rambut yang hitam kemas. Ia tidak menunjukkan dia sedang bermusafir.
Lelaki menuju ke Rasulullah SAW dan duduk di hadapannya dengan lutut bertemu lutut. Lelaki itu meletakkan tangannya di atas peha Rasulullah SAW. Selepas itu, lelaki itu bertanyakan soalan kepada Rasulullah SAW.
“Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam.”
“Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh ALLAH. Dan hendaklah kamu mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Eamadan dan juga menunaikan haji ke Baitullah sekiranya kamu mampu,” jawab Rasulullah SAW.
“Benar katamu wahai Muhammad,” kata lelaki itu.
Para sahabat kehairanan kerana lelaki itu bertanya kemudian dia juga membenarkan kata-kata Nabi Muhammad SAW.
Kemudian, lelaki itu terus bertanya lagi kepada Rasulullah SAW, “Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa itu iman?”
Lalu Nabi Muhammad SAW pun bersabda, “Hendaklah kamu beriman kepada ALLAH, kepada malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya, kepada rasul-rasulnya, kepada hari kiamat dan hendaklah kamu beriman juga kepada ‘Qada’ dan ‘Qadar’ iaitu beriman dengan takdir yang baik mahupun dengan yang buruk.”
Maka lelaki itu berkata lagi, “Benar katamu wahai Muhammad,” dan bertanyakan pula soalan ketiga tentang ihsan’.
Rasulullah SAW pun menjawab, “Hendaklah kamu beribadah kepada ALLAH SWT seperti seolah-olah ALLAH sedang melihat kamu. Sekiranya kamu tidak melihat ALLAH, Sesungguhnya ALLAH sentiasa melihat kamu.”
Maka lelaki itu pun bertanyakan lagi kepada baginda, “Khabarkan kepadaku bilanya terjadi hari kiamat?”
“Orang yang bertanya adalah lebih mengetahui daripada orang yang ditanya,” ujar Nabi Muhammad SAW.
Lelaki itu bertanya lagi kepada Rasulullah SAW, “Khabarkan kepadaku tanda-tanda kiamat,”
“Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya, apabila engkau melihat orang yang tidak berkasut, orang yang tidak berpakaian, dan juga pengembala kambing berlumba-lumba untuk membina bangunan yang tinggi,” Ujar Nabi Muhammad SAW.
Selepas selesai bertanyakan soalan-soalan itu, lelaki tersebut terus meninggalkan majlis tersebut. Nabi Muhammad SAW bertanyakan kepada Saidina Umar, “Wahai Umar, tahukah engkau siapakah lelaki yang menyoal aku tadi?”
“Hanya Allah dan rasulnya yang lebih mengetahui,” jawab Saidina Umar.
Maka Nabi Muhammad SAW bersabda, “Itulah Malaikat Jibril yang telah mendatangi aku, untuk mengajarkan kamu tentang pelajaran agama,” (Riwayat Muslim)
Pengajaran melalui peristiwa ini sangat mendalam. ALLAH mengutuskan malaikat-Nya yang paling mulia, Jibril AS, untuk mengajarkan dan memperkuat kefahaman umat Islam tentang rukun Islam. Peristiwa ini juga memperlihatkan cara hikmah dan santun dalam menuntut ilmu dengan bertanya kepada mereka yang lebih arif, dalam hal ini ialah Rasulullah SAW.
Hidupkan Sunnah, sempurnakan ibadah
Rasulullah SAW memberi khabar gembira tentang Ramadan sebagai bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Dalam bulan ini, puasa adalah rukun penting yang bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum tetapi juga menahan diri dari perkara yang boleh membuka pintu dosa.

Puasa juga memberi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu ALLAH SWT. Setiap Muslim diingatkan untuk menghayati erti puasa ini dengan sungguh-sungguh dalam menegakkan rukun agama.
Dalam khutbah ini, diingatkan tentang perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang membuka pintu neraka, walaupun pintu tersebut sudah ditutup oleh ALLAH SWT di bulan Ramadan. Ini merujuk kepada mereka yang sengaja melakukan dosa dan kemaksiatan, yang mana sepatutnya dihindari di bulan ini. Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam tentang keseriusan azab neraka. Neraka adalah tempat yang penuh dengan kesengsaraan.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sesungguhnya, ALLAH Maha Perkasa, lgai Maha Bijaksana. (Surah Al-Nisa’: 56)
Nabi Muhammad SAW naik ke Bukit Safa dan memanggil kaum Quraisy, memberi peringatan agar tidak mendekatkan diri kepada neraka dengan cara hidup yang melampaui batas. Pada bulan yang mulia ini, setiap Muslim diingatkan untuk menyambut Ramadan dengan hati yang bersih, niat yang tulus, dan kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Jangan sia-siakan peluang ini dengan melakukan dosa yang hanya akan menambah beban di akhirat. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang memperoleh rahmat, keampunan, dan pembebasan dari api neraka pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 11 yang bertajuk “Jangan buka pintu neraka”, disampaikan oleh Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan, Penerbitan al-Quran, Karya Bestari di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam
Ikuti siaran semula di https://youtu.be/MxDpGLUQj50?si=Zh5F4cU1ARh7rG_N




Comments on Verse