Tahniah kepada pihak DRB-Hicom Berhad atas sokongan dan kerjasama bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam menjayakan program #SavingTheNation, Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team di Surau Al-Hidayah, Wisma DRB-Hicom pada pukul 12.30 tengah hari hingga 1.40 petang, 21 November 2024.
Lebih 200 warga kerja DRB-HICOM dan anak-anak syarikatnya menyertai perkongsian ilmu secara hibrid, yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, WUIF, Tuan Haji Fazrul Ismail.

Pengarah Unit Outreach DRB-Hicom merangkap Pengerusi Surau Al-Hidayah, Zainuddin Yaacob berkata, pihak syarikat telah menjalinkan kerjasama dengan WUIF dalam menjayakan kempen #QuranHour sejak 2017.
“Walaupun kami ada Forum Perdana pada 5 Disember ini dan petang ini ada program tadabbur al-Quran, kami tetap sokong dan bantu bila dijemput oleh pihak WUIF untuk menganjurkan #SavingTheUmmah.

“Lebih menarik program kali ini berkaitan dengan kesihatan mental. Pihak DRB-Hicom (Group Capital) sangat memberi penekanan kesejahteraan mental kepada warga kerja dan keluarga.”
Program #SavingTheUmmah memberi kesedaran minda yang sihat berpandukan al-Quran. Seterusnya pendekatan tadabbur lebih memberi kefahaman isi kandungan al-Quran. Selain itu, ia juga dapat mengimarahkan aktiviti surau yang menarik perhatian warga kerjanya.
Golongan Muslimin berkumpul di Surau Al-Hidayah DRB-Hicom, manakala golongan Muslimat dapat mengikut secara atas talian di Dewan Latihan, tingkat 6, Wisma DRB-Hicom.
Sebelum ini, DRB-Hicom menerima al-Quran wakaf yang disumbangkan oleh orang ramai melalui program My #QuranTime 1.0. Bingkisan al-Quran tersebut telah diagihkan kepada semua anak syarikat bagi mewujudkan Quran Corner untuk dimanfaatkan.

“Dari situ, warga kerja berasa teruja untuk beristiqamah dalam mengamalkan al-Quran. Sebenarnya kerja yang kita buat adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Agama dan kerja adalah jalan seiring.
“Akhirnya matlamat kita memang menuju kehidupan abadi. Dunia ini adalah tempat aktiviti ibadah dan menjadi jambatan ke akhirat. Kerja ini adalah sebahagian ibadah dan ibadah itu membawa kita ke sana.”


Sementara itu, Tuan Haji Fazrul dalam perkongsian ilmu “Reflesi Surah al-Saff: My Dream Team” berkata, makanan fizikal, emosi, intelektual dan spiritual perlu seimbang. Ayat 1 dalam Surah al-Saff menunjukkan seluruh alam langit dan bumi bertasbih.
Apabila kita selari dengan alam yang bertasbih, melalui berinteraksi dengan al-Quran, ia menjadi terapi. Semangat kita dari waktu Subuh hingga Zohor semakin lemah. Jadi kita perlu berehat sebentar dari segi fizikal untuk memfokuskan pembangunan spiritual (mendirikan solat Zohor).
Jika kita melanggar peraturan ALLAH, ia membuatkan kita letih dan kehidupan menjadi kucar-kacir. Jom kita mengikuti perintah ALLAH dan menjauhi larangan-Nya.
Ayat 2 menekankan apa yang kita cakap perlu konsisten dengan apa yang kita buat. Orang yang bercakap tapi tak serupa bikin menyebabkan cabaran mental. Dalam membina pasukan impian, orang paling atas dalam organisasi adalah penting untuk buat apa yang dicakap. Ia boleh membina kepercayaan daripada kalangan pekerjanya.
Ayat 3 memberi peringatan bahawa ALLAH SWT murka kepada orang bercakap tidak seiring dengan perbuatan. Kemurkaan ALLAH mengundang hilang rahmat-Nya. Ini menjadikan seseorang itu lebih tertekan.
Ayat 4, ALLAH SWT menyayangi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan teratur, seolah-olah merea sebuah banguan tersusun kukuh. Ini bermakna setiap orang memainkan peranan penting mengikut kebolehan masing-masing dalam organisasi.
Mereka yang tidak fokus peranannya hanya meranapkan organisasi tersebut. Ini berlaku “blame game” saling menuduh, sebagaimana kisah iblis yang menyalahkan ALLAH SWT lalu menggoda Nabi Adam AS dan Hawa.
Mindset atau kerangka minda adalah penting dalam mengurus sesuatu perkara. Berkasih sayang dan tidak menyalahkan antara satu sama lain ketika berlaku konflik mampu menguruskan masalah dengan baik. Berbincang, bertanggungjawab dan menguruskan sesuatu dalam kumpulan dapat membina pasukan yang kuat.
Fazrul dalam mengupas tadabbur Surah al-Saff, ayat 1 hingga 7, berkata ALLAH tidak memberi hidayah kepada orang yang zalim. Hidayah bermaksud solusi melalui solat. Berdoalah kepada ALLAH SWT untuk mendapat hidayah-Nya pada setiap masa, semoga kita dimasukkan dalam golongan orang yang beruntung di dunia dan akhirat. Amin
Program #SavingTheUmmah, Refleksi Surah al-Saff : My Dream Team terbuka kepada semua pihak yang ingin berkolaborasi dengan pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk menganjurkan program di lokasi masing-masing. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Hotline Rumah Ngaji 019 3802625 atau ikuti di Facebook QuranHour.




Comments on Verse