Satu hari seorang rakan bertanya saya, “Bagaimana kita mahu ajak rakan sekerja di pejabat untuk solat?”
Saya ada respon soalan beliau dengan ringkas. Izinkan saya memperincikannya di sini. Pertama, solat adalah ibadah peribadi. Ia urusan peribadi, apabila seseorang itu meninggalkan solat, secara zahir akan memberi kesan kepada dirinya sahaja.
Kedua, apabila kita yang tidak begitu rapat dengan rakan sekerja itu, apakah ada jaminan bahawa dia akan menerima teguran dan saranan kita?
Justeru, kita hanya boleh sampaikan sahaja tanpa ayat mengajar-ajar, menggurui orang tersebut.
Usamah bin Zaid melaporkan bahawa suatu hari Nabi Muhammad Sollalahu ‘Alayhi wa Sallam menunggang keldai menuju ke satu tempat. Dalam perjalanan, Nabi Muhammad melihat kumpulan orang Islam, orang kafir dan Yahudi dalam satu majlis.
Apabila sampai di tempat itu, debu-debu daripada keldai Nabi Muhammad terkena pada majlis itu. Kemudian Nabi Muhammad turun dan memberi salam kepada mereka. Baginda membacakan beberapa ayat al-Quran.
Lalu Abdullah bin Ubai bin Salul yang dikenali sebagai orang munafiq berkata, “Hei orang itu, tidak ada yang lebih baik daripada ajaran kamu itu. Sekiranya benar apa yang kamu katakan, janganlah mengganggu majlis kami ini, kamu pulang ke tempat kamu dan sesiapa yang datang kepada kamu, ceritakanlah kepadanya.”
Abdullah bin Rawahah berkata, “Wahai Rasulullah, datanglah ke tempat kami, kami suka.”
Kemudian, orang Islam, orang kafir dan orang Yahudi mula bertengkar sehingga mereka dan hampir memaki hamun sesama mereka.
Lalu Nabi Muhammad berusaha meleraikannya. Kemudian, Nabi Muhammad meneruskan perjalanan sehingga sampai ke rumah Sa’ad bin ‘Ubadah. (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)
Dalam peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW membacakan ayat al-Quran sebagai seruan ke arah kebaikan. Kemudian Nabi Muhammad langsung tidak memberi respon daripada kata-kata herdikan Abdullah bin Ubai itu. Baginda seolah-olah buat tidak endah sahaja daripada kata-katanya yang kasar itu.
Namun, apabila berlaku pertengkaran dan pergaduhan, Nabi Muhammad SAW berusaha meleraikannya.
Di sini, kita boleh belajar bahawa kita berusaha membawa kebaikan dalam perkara yang berada di luar kawalan kita. Apa yang berada di luar kawalan kita, tidak ada kuasa yang mampu mengubahnya melainkan ALLAH SWT.
Kita baca kisah Nabi Nuh ‘Alayhissalam.
ALLAH SWT berfirman: “(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi daripada azab ALLAH, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” (Surah Hud ayat 42-43)
Bagaimana seorang Nabi yang menerima wahyu langsung daripada ALLAH ‘Azza wa Jalla tidak dapat ‘mengawal’ anaknya. Sehingga tergolong di kalangan orang yang ingkar dan kufur. Inilah dikatakan hidayah. Hidayah bukan milik sesiapa. Ia mutlak milik ALLAH yang Maha Pengasih.

Apalah sangat dengan diri kita yang serba kekurangan untuk mengubah orang lain. Kita berusaha untuk melaksanakan dalam kawalan dan lingkungan kita dahulu dengan harapan ALLAH menghantar bantuan untuk memperbaiki orang di sekeliling kita.
Mulakan dengan kemampuan dan kapasiti kawalan kita seperti anak isteri, ahli keluarga, sahabat yang rapat. Memang benar ALLAH dan Rasul perintahkan untuk mencegah kemungkaran. Perlu diteliti juga kesan buruk daripada cara kemungkaran itu dicegah. Adakah tindakan itu menimbulkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaatnya?
Contohnya meleraikan pergaduhan bersenjata akan memberi mudarat kepada diri kita. Maka tidak mencegah kemungkaran tersebut lebih diutamakan dalam situasi demikian.
Realiti yang pahit, bukan sahaja rakan sekerja atau sahabat sekuliah, anak sendiri pun belum tentu dapat kita kawal sepenuhnya. Kepada Allah jua kita berserah seikhlas hati.
We do our best, ALLAH do the rest. HasbunaLlah, wa Ni’mal Wakil.
Artikel ditulis oleh Ustaz Saifuddin Yusof, Perunding, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas




Comments on Verse