PANDEMIK Covid-19 yang sudah menular lebih setahun dalam negara, sememangnya memberi kesan kepada semua pihak terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ibu tunggal.
Begitu juga, antara yang terkesan ialah Rokiah Othman, 72, dari Puchong Selangor. Beliau menjaga dan tinggal bersama 5 orang anak lelaki termasuk anak kurang upaya. Tiga daripada lima orang adalah anak kurang upaya dan dua lagi adalah anak arwah adiknya.
Beliau berkongsi cerita di program Soul Fitness Clinic pada 26 Julai 2021. Program menyantuni golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini memberi sokongan berbentuk kerohanian dengan bertadabbur ayat al-Quran sebagai panduan dan sumbangan RM200 kepada pemanggil. Sumbangan tersebut datang daripada orang ramai melalui Tabung Gerakan al-Quran yang diuar-uarkan dalam program My #QuranTime di TV AlHijrah.
Rokiah berkata, disebabkan masalah kewangan pada 2018, beliau terpaksa memulangkan dua anak saudara kepada pihak pusat kebajikan. Beliau kini tinggal bersama tiga orang anak kurang upaya yang dijaga sejak kecil. Arwah suami beliau sebagai askar meninggal dunia semasa menjalankan tugas, sekali gus menyebabkan dia sekeluarga hilang tempat bergantung.
“Suami saya telah meninggal dunia dan saya menerima bayaran bulanan pencen sebanyak RM700, bantuan asnaf RM500 dan bantuan anak kurang upaya sebanyak RM250. Ini sahaja pendapatan yang saya terima sepanjang hidup saya.
“Memandangkan saya telah berusia dan tidak mempunyai apa-apa pekerjaan bagi menampung kehidupan seharian.”
Menurutnya lagi, seorang daripada anaknya mempunyai sakit jantung yang memerlukan pembedahan sebanyak empat kali. Dua saluran jantung tersumbat dan terpaksa meminjam RM3,000 dari jiran bagi memenuhi keperluan tersebut.
“Saya sudah membayar RM2,000 dan hanya tinggal lagi RM1,000 sahaja yang masih saya belum bayar”.
Apapun bagi Rokiah, ujian yang dihadapinya ini baginya satu peluang kepadanya untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Pada Allah SWT sahaja saya dapat menangis dan berdoa pada Allah SWT supaya memberi kekuatan pada diri saya dan juga saya tidak lupa untuk berdoa pada kaum muslimin dan muslimat kerana telah banyak membantu kami sekeluarga” katanya.
Tidak dinafikan, walaupun mendapat bantuan kewangan namun masih tidak mencukupi bagi mereka sekeluarga.
Kepada anda yang ingin menyumbang kepada Rokiah Othman, boleh salurkan ke nombor akaun Bank Rakyat 220641052554.
Semoga sumbangan kita ini dapat meringankan kelangsungan kehidupan harian mereka sekeluarga.