Studio My #QuranTime kembali dengan wajah baharu bermula 14 Disember 2024, menampilkan reka bentuk yang diilhamkan daripada kulit Al-Quran Mushaf Al-Kubra terbitan Karya Bestari. Dengan latar warna hitam dan emas, perubahan ini mencerminkan keindahan dan keagungan al-Quran.

Bermula My #QuranTime 2.0, Episod 732, set studio baharu ini diharap mampu memberikan semangat dan motivasi kepada peserta serta penonton untuk terus berinteraksi dengan al-Quran melalui pendekatan Baca, Faham dan Amal.
Set baharu ini juga memperkenalkan Mushaf Al-Kubra bersaiz 3A yang menampilkan tulisan besar dan jelas. Mushaf ini telah disemak dan diluluskan oleh Ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, menjadikannya pilihan terbaik untuk semua peringkat usia.
Perjalanan My #QuranTime
Program My #QuranTime diterbitkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan TV AlHijrah sebagai penyiar utama. Bermula pada 8 Jun 2020, program ini bersiaran secara langsung setiap hari dari pukul 12 hingga 1 tengah hari.








Pada awalnya, ia merupakan kesinambungan program Malaysia #QuranTime yang diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di TV AlHijrah. Program ini menjadi pengisian rohani bagi rakyat Malaysia yang berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Dalam tempoh PKP, al-Quran menjadi penawar kepada keresahan masyarakat yang berdepan tekanan ekonomi, politik, dan bencana alam. Malaysia #QuranTime mentadabbur surah-surah pilihan, mencetuskan fenomena luar biasa apabila rakyat Malaysia tertarik dengan pengisiannya dan sentiasa menantikan program ini.
Sambutan hangat ini membawa kepada penerbitan My #QuranTime 1.0, yang membawa penonton bertadabbur dan memahami isi kandungan al-Quran secara sistematik dari muka surat pertama hingga ke muka surat 604.
Kejayaan My #QuranTime 1.0
Program My #QuranTime 1.0 berjaya menarik lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, dan Selatan Thailand melalui siaran di TV AlHijrah serta platform digital seperti Facebook dan YouTube. Program ini memberi pendekatan mudah untuk memahami al-Quran, menjadikannya pemangkin kepada masyarakat untuk mendalami al-Quran pada tahap lebih tinggi.
Puncak kejayaan My #QuranTime 1.0 diraikan melalui Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime pada 8 Oktober 2022, bertemakan “Kerinduan & Kenangan Terindah Bersama al-Quran”. Acara ini dihadiri oleh 8,000 peserta dari pelbagai latar belakang di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Selain itu, Wakaf al-Quran untuk Ummah dan Tabung Gerakan Al-Quran yang diperkenalkan melalui program ini telah menggalakkan budaya infak dan wakaf dalam kalangan peserta.

Bermula 14 Disember 2022, WUIF melancarkan My #QuranTime 2.0 yang menampilkan pendekatan baharu “Quran, Solat & Infak”. Program ini mensasarkan lebih 2000 episod selama sejam setiap hari di platform digital Sinar Harian dan My #QuranTime Official, dan bersiaran di TV AlHijrah, TV9, dan Astro Oasis.
Pendekatan baharu ini menggunakan Al-Quran Al-Karim Al-Hafiz yang mempunyai tiga blok warna pada setiap halaman, di mana setiap blok disarankan untuk dihafal dalam masa satu jam. Tadabbur untuk setiap blok dikendalikan oleh Pentadabbur dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, manakala bacaan al-Quran dibimbing oleh Qari Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.
My #QuranTime 2.0 memberi fokus kepada bacaan al-Quran secara tartil, tadabbur mendalam, tajwid, dan hafazan. Matlamatnya adalah membentuk kerangka fikir dan karakter berteraskan nilai al-Quran dan Sunnah.
My #QuranTime 2.0 telah dimulakan pada 23 November 2022 di Studio My #QuranTime baharu yang dibangunkan dengan kos RM3.5 juta hasil sumbangan orangn ramai melalui Tabung Gerakan Al-Quran.
Studio ini terletak di kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. Penonton juga berpeluang hadir sebagai peserta di studio untuk menyaksikan rakaman secara langsung dan belajar terus daripada program ini.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub, terus komited menerajui legasi #QuranHour yang membawa misi “MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah”. Beliau menggalakkan umat Islam di seluruh dunia untuk menyertai kempen ini di lokasi masing-masing, menjadikan satu jam bersama al-Quran sebagai amalan harian.
Pelbagai inisiatif diambil untuk mendekatkan umat Islam dengan al-Quran sebagai panduan hidup, sekaligus memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk mengenal al-Quran yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia. Untuk maklumat lanjut dan tempahan kehadiran rakaman, sila hubungi Hotline My #QuranTime di talian WhatsApp 019-444 3635.
Konvensyen My #QuranTime
Tanggal 1 Disember 2024, buat pertama kalinya, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Konvensyen My #QuranTime #SavingTheUmmah sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.


Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, berkata, konvensyen ini bertujuan menyatukan masyarakat melalui nilai-nilai al-Quran, Solat, dan Infak (QSI) serta mendorong transformasi diri.
“Berbeza daripada My #QuranTime 1.0 dan 2.0 yang disiarkan di televisyen, konvensyen ini memberi platform fizikal kepada para pencinta al-Quran, asatizah, dan tokoh inspirasi untuk bertemu, bertukar pengalaman, dan memperkukuh usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Menerusi tema #SavingTheUmmah yang berpandukan Surah Al-Saff, kami menekankan kepentingan penyatuan, keimanan, dan tindakan berlandaskan al-Quran,” jelasnya.

Kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur utama SIBF menjadi pemangkin kepada kejayaan konvensyen ini, yang bertujuan menyebarkan mesej al-Quran ke seluruh lapisan masyarakat.
Diperkenalkan pada 8 Jun 2020 sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), My #QuranTime berjaya mencatat lebih 45.5 juta tontonan di TV AlHijrah, TV9, dan Astro Oasis. Program ini memperkenalkan pendekatan unik iaitu baca, faham, dan amal satu muka surat al-Quran selama satu jam sehari.
Sejak Wakaf Al-Quran Fasa 1 pada April 2020 sehingga Tabung Gerakan Al-Quran pada 7 Oktober lalu, WUIF telah mengumpul RM21,331,652 untuk menghasilkan 371,480 naskhah al-Quran wakaf. Al-Quran tersebut diagihkan ke lebih 5,000 Quran Corner di organisasi seperti hospital, agensi kerajaan, sekolah, universiti, masjid, dan Rumah Ngaji.
Menerusi visi “MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah,” WUIF terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembangunan My #QuranTime 2.0 sebanyak 2,313 episod. Bagaimanapun, sebanyak RM6.5 juta lagi diperlukan bagi menyiapkan baki 1,300 episod.
WUIF juga merancang memperluaskan impak konvensyen ke zon lain termasuk Brunei dan Singapura untuk membina ummah yang lebih bersatu dan kukuh.
Di sebalik perjalanan My #QuranTime, ada pelbagai kisah menarik yang dikongsikan oleh peserta, penginfak dan pewakaf My #QuranTime. Insya-ALLAH, nantikan dalam kisah mereka akan datang.
Untuk maklumat lanjut, layari Facebook My #QuranTime Official dan QuranHour. Anda juga dijemput untuk menyokong Tabung Gerakan Al-Quran bagi memastikan kesinambungan usaha murni ini dalam membentuk ummah yang berpegang teguh pada al-Quran.
Orang ramai dan organisasi yang berminat boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Warisan Ummah Ikhlas Foundation di Maybank Islamic – 5642 7653 8528 (Rujukan: Tabung Quran).





Comments on Verse