Belajar itu perjalanan yang tiada titik noktah. Usia bukan penghalang, malah setiap hari adalah peluang untuk kita lebih dekat dengan ALLAH. Bagi mereka yang berusia, menuntut ilmu agama, membaca al-Quran, dan mendalami makna ayat demi ayat bukan lagi sekadar amalan; ia menjadi jalan untuk melunaskan hasrat hati yang ingin menjemput rahmat dan ketenangan di usia senja.Inilah harapan yang dibawa oleh golongan pesara, termasuk bekas guru, kakitangan kerajaan, dan suri rumah dari Taman Sri Melintang dan Taman Seri Ishak, Hutan Melintang, Perak, yang kini punya masa terluang untuk memperkaya jiwa.
Seramai 90 wanita yang menyertai Pengajian Muslimah memanfaatkan Balai Islam di Taman Sri Melintang bukan hanya sekadar tempat untuk belajar, tetapi juga ruang untuk mengeratkan ukhuwah dan mendalami agama bersama.
Dalam zaman yang semakin mencabar, Balai Islam membuktikan bahawa ilmu agama tetap menjadi tiang seri yang menguatkan ikatan komuniti dan menyinari hati mereka yang ikhlas mencari reda Ilahi.
Antara aktiviti dijalankan seperti kelas pengajian tajwid, tafsir, belajar Sifat 20 dan Hadis 40 bermula Isnin hingga Jumaat.
Selain menghadiri kelas di balai tersebut, mereka mengikuti program My #QuranTime di televisyen atau di platform media sosial.
Wakil dari Pengajian Muslimah Balai Islam, Taman Sri Melintang, Siti Zainah Mohd Yasin, 71, berkata, walaupun aktiviti ini sekadar dalam talian, ia tetap memberi pengaruh positif dalam hidupnya dan mendorong beliau untuk lebih mendalami al-Quran serta mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
“Balai Islam ini mungkin kecil pada pandangan mata, sebenarnya besar dalam memberi impak kepada masyarakat di Melintang. Semoga usaha mereka terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada generasi yang lain.”
Tambah beliau, para ahli Pengajian Muslimah turut memanfaatkan masa dengan aktiviti infak, memberi pada jalan ALLAH, mengamalkan sedekah jariah, dan mewujudkan budaya kebaikan yang berterusan. Amalan infak bukan sahaja pahala yang mengalir tanpa henti, tapi juga tanda kesyukuran kita atas rezeki yang dikurniakan-Nya selama ini.
“Ramai peserta di sini daripada kalangan orang yang sudah lama bersara. Mereka ada duit, tapi tak tahu nak sumbang di mana. Jadi, kami berkumpul dan bantu-membantu dalam aktiviti di Balai Islam.

“Setiap bulan, kumpulan kami memberi sumbangan antara RM850 hingga RM950 sebulan bagi Tabung Gerakan al-Quran dan pusat tahfiz yang memerlukan. Saya bertindak sebagai orang yang diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan tersebut berasa berbesar hati untuk melaksanakan hasrat mereka.
Berdasarkan pengalaman peribadi, Siti Zainah, yang telah bersara sejak 2010, menyimpan hasrat mendalam untuk memperkukuh ilmu agama yang sebelum ini jarang dapat diterokainya semasa bekerja.

“Dulu sibuk dengan kerja, tak sempat nak belajar lebih mendalam. Sekarang dah pencen, saya teringin belajar al-Quran, tadarus, dan memahami isi kandungannya. Saya memang minat program My #Qurantime, tapi tak berkesempatan mengikuti sepenuhnya sebab sibuk bekerja. Lepas pencen, barulah rasa lebih faham dan dekat dengan al-Quran,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas sebagai penggerak Tabung Gerakan Al-Quran ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua penginfak dan pewakaf. Sumbangan anda yang ikhlas ini amatlah berharga dan memberi impak besar dalam usaha menyebarkan ilmu al-Quran kepada umat Islam di seluruh dunia.
Semoga segala amal jariyah yang anda lakukan diterima oleh ALLAH SWT dan dilimpahkan dengan keberkatan serta pahala yang berterusan. Anda telah menjadi sebahagian daripada gerakan yang mulia ini, dan insya-ALLAH, setiap ayat yang dibaca, setiap hati yang mendapat hidayah, akan menjadi saham pahala yang tidak terputus untuk anda.
Kami mendoakan agar ALLAH SWT memberi ganjaran yang setimpal, memudahkan segala urusan anda, dan memberkati rezeki serta hidup anda dengan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan dan sokongan anda. Semoga usaha ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada umat yang memerlukan.
Amin Ya Rabbal Alamin.




Comments on Verse