PEMINAT MY #QURANTIME HADIAHKAN PANELIS MY #QURANTIME

Hasrat seorang peminat My #QuranTime untuk menyerahkan hadiah kepada Pentadabbur, Qari dan Penterjemah Bahasa Isyarat tertunai apabila wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) membantu untuk mengambil dan menyampaikannya pada 1 Jun 2022.

Puan Maznah komited ikut program My #QuranTime sejak dua tahun lalu.

Puan Maznah Ishak, 79, dari Taman Melur, Ampang telah menghubungi pihak WUIF untuk menyampaikan hasratnya sejak Ramadan lalu. Namun ia dapat direalisasikan dengan tempoh sejam untuk mengambil ‘amanah’ tersebut di rumahnya dan terus dibawa ke studio TV AlHijrah.

Sebelum ini penulis dapat berhubung dengan anak beliau, Cikgu Siti Nurhaida yang tinggal di Sepang untuk menguruskan penyampaian cenderahati dan sumbangan tersebut, hasil kutipan duit Puan Maznah dan enam anaknya.

Beliau mula mengikuti program My #QuranTime sejak awal episod tersebut disiarkan di TV AlHijrah sehingga kini. Anak cucu sudah memahami waktu menonton program tersebut pada 12 tengah hari setiap hari. Mereka tolong buka saluran TV AlHijrah dan panggil neneknya, “My #QuranTime Mak Tok!”.

 

“My #QuranTime cukup menyentuh hati saya dalam mendekati al-Quran. Setiap orang bertadabbur dengan cara tersendiri, mengikut kepakaran masing-masing.

“Di sepanjang program berinteraksi dengan al-Quran tersebut, ada beberapa episod tanpa Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur kerana faktor kesihatan. Inilah ujian perjalanan orang yang bawa al-Quran.

“Hajat saya untuk memberi hadiah sebagai tanda terima kasih kepada Ustaz Fazrul, Ustaz Tarmizi, Ustaz Tirmizi dan Felo Daie Pekak USIM, Azlina Mohamed Isa sebagai penterjemah My #QuranTime. Saya menghargai rancangan tersebut yang dapat mengisi ilmu al-Quran di rumah.”

Beliau berkongsi nota yang ditulis dalam tulisan Jawi ketika menonton rancangan tersebut. Pada masa sama, dua cucu turut sibuk menulis bersama beliau.

Puan Maznah rajin mengambil nota My #QuranTime dalam tulisan Jawi.

“Harapan saya program My #QuranTime diteruskan bagi pengisian agama, khususnya al-Quran,” katanya.

Pertemuan bersama Puan Maznah memberi inspirasi kepada penulis, jika ada niat di hati dan ada kesungguhan, insyaALLAH, ALLAH mempermudahkan segala urusan.

 

Similar Posts

Leave a Reply