Satu amalan yang mudah tetapi memberi impak besar dalam hidup kita, iaitu zikrullah, atau mengingati ALLAH. Sebuah amalan yang mengukuhkan jiwa, membersihkan hati, dan mendekatkan kita kepada ALLAH SWT.
Pernah suatu ketika seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dalam keadaan gelisah dan keluh kesah. Dia baru sahaja memeluk Islam dan merasa berat dengan segala tuntutan syariat yang perlu diikutinya. Dia bertanya kepada Rasulullah SAW, meminta bimbingan dan nasihat. Rasulullah dengan hikmahnya menyebut, “Jangan sesekali biarkan lidahmu kering daripada mengingati ALLAH.”
Nasihat ini ringkas, tapi mengandungi kekuatan yang besar. Kita manusia sering kali hanya mengingati ALLAH ketika di masjid atau surau, tetapi lupa mengingati-Nya di luar waktu-waktu tersebut. Ayat 9 dalam Surah Al-Jumu’ah mengingatkan kita agar berzikir, mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya, sama ada ketika selesai solat, mahupun sewaktu menjalani tugas harian.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan jual beli (pada saat itu), yang demikian bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumu’ah, 62: 9)
Kuasa Zikir tangani cabaran hidup
Zikir bukan sekadar menyebut nama ALLAH. Ia merangkumi ketenangan jiwa yang terhasil apabila kita mendekatkan diri kepada ALLAH dalam setiap perkara. Kisah sahabat Nabi Muhammad SAW, Sa’id ibnu Zaid. Beliau sentiasa melazimi zikir kepada ALLAH dalam keadaan apapun, dan akhirnya doanya sering mustajab.

Ketika beliau dituduh secara tidak adil mengambil tanah milik seorang wanita, Sa’id berdoa kepada ALLAH agar kebenaran terbukti. ALLAH SWT memperkenankan doanya, dan wanita tersebut mengalami penglihatan wanita itu semakin lama, semakin kabur. Akhirnya dia mengalami masalah penglihatan, dan hidup dalam keadaan terasing. Ini adalah tanda betapa besarnya kesan zikir dan kebergantungan penuh kepada ALLAH dalam hidup.
Zikir juga menjadi pelindung kita daripada godaan syaitan. Apabila kita melazimi zikir, hati kita lebih fokus dan terhindar daripada fikiran negatif atau hasutan syaitan yang sentiasa mengganggu. Ingatan kita kepada ALLAH menjadi benteng yang menjaga kita daripada terpengaruh dengan maksiat, amarah, dan perkara-perkara yang menjerumuskan kita kepada dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Perkenalkanlah diri kamu kepada ALLAH ketika kamu senang, nescaya Dia akan mengenali mu ketika kamu susah. Ketahuilah, kesabaran dalam perkara yang kamu tidak suka itu mempunyai banyak kebaikan, pertolongan itu bersama-sama kesabaran, jalan keluar itu bersama-sama kesulitan, dan kesukaran itu bersamanya kemudahan.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Abbas)
Zikir bukanlah sesuatu yang memerlukan masa yang panjang atau keadaan yang khusus. Kita boleh berzikir dalam apa jua keadaan, sewaktu berjalan, bekerja, malah di waktu lapang. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita betapa mudahnya berzikir, dan bagaimana amalan ini membawa ketenangan jiwa, keberkatan hidup, dan kemaafan ALLAH SWT.
Imam besar, Ibn Rajab al-Hanbali, mencatatkan bahawa para ulama di zaman dahulu sangat menanti kehadiran bulan Ramadan dengan membersihkan jiwa dan mengamalkan zikir yang banyak. Ada di antara mereka seperti Ammar bin Qais al-Mulla’i, seorang ahli perniagaan kaya, yang menutup semua perniagaannya pada bulan Syaaban untuk memberi perhatian kepada zikir dan bacaan Al-Quran.
Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, memohon kemaafan, dan menguatkan keimanan. Gunakan peluang bulan Syaaban untuk memperbanyakkan zikir, supaya hati kita benar-benar bersedia untuk menyambut Ramadan dengan jiwa yang bersih dan hati yang penuh dengan ingatan kepada ALLAH.
Semoga kita dimasukkan dalam kalangan orang yang sentiasa mengingati ALLAH dalam apa jua keadaan. Semoga ALLAH memberi kita kekuatan untuk menghidupkan amalan zikir dalam hidup kita, agar kita sentiasa berada di bawah rahmat dan perlindungan-Nya. Amin.

Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 8 yang bertajuk “Lazimi zikrullah”, disampaikan oleh Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan, Penerbitan al-Quran, Karya Bestari di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 1 Mac 2024.
Ikuti siaran semula di https://youtu.be/n3DrkbtAT9E?si=-Z-XHXz_U7ziNXUU




Comments on Verse