Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka (PRNUIM) menganjurkan retreat selama dua hari satu malam di D’Nelayan Resort, Masjid Tanah. Program ini bertujuan menyatukan para penggerak Rumah Ngaji di Melaka dalam usaha membina dan membangunkan organisasi serta mengukuhkan ukhwah melalui sesi taaruf dan mesyuarat agung tahunan.
Retreat ini menjadi platform penting untuk memperbaharui visi dan misi pertubuhan, dengan penekanan terhadap usaha memupuk masyarakat celik al-Quran. Turut hadir memeriahkan acara, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Puan Marhaini Yusoff, yang berkongsi pandangan beliau mengenai hala tuju dan matlamat Rumah Ngaji sebagai agen transformasi masyarakat.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan kepentingan Rumah Ngaji sebagai wadah untuk mendekatkan masyarakat kepada al-Quran dan nilai-nilai murni.
“Rumah Ngaji adalah jantung kepada gerakan gelombang al-Quran. Usaha ini bukan sahaja untuk mengajar, tetapi juga untuk membentuk jiwa dan minda masyarakat agar lebih memahami makna hidup berlandaskan al-Quran.”
“Semua penggerak Rumah Ngaji adalah marsus atau “binaan yang kuat” sebagaimana yang dianjurkan dalam Surah Al-Saff, demi meneruskan perjuangan membawa al-Quran kepada masyarakat.”
Marhaini menyentuh tentang visi besar WUIF, Mengqurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah menjelang tahun 1500H. Kita perlu membina karakter dalam diri setiap Muslim iaitu Quran, Solat, dan Infak (QSI) dengan berpandukan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5.
Sementara itu, Mantan Pengerusi PRNUIM, Nuratikah Amir berkata, program kali ini bertujuan untuk membina ukhuwah dan memacukan gerakan Rumah Ngaji di Melaka.

“Kita meraikan rakan Rumah Ngaji yang bertahun-tahun berjuang dalam menegakkan visi al-Quran, di sebalik cabaran kesihatan, kekangan kewangan dan masa. Kini sebanyak 25 Rumah Ngaji di Melaka yang masih aktif.
“Dengan pelantikan barisan baru jawatankuasa PRNUIM 2025/2026, mereka yang dilantik dapat menggalas tanggungjawab dengan baik, amanah dan berintegriti. Kita belum menang, jadi kita perlu teruskan perjuangan al-Quran dalam satu barisan yang teguh.”
Wakil, Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim yang hadir bersama beberapa penggerak Rumah Ngaji di Negeri Sembilan berkata sekiranya semua penggerak Rumah Ngaji yang mendapat panduan Surah al-Saff untuk meluruskan barisan dan membumikan al-Quran, ia boleh memberi impak positif kepada masyarakat.”
Program dimulakan dengan sesi taaruf yang berjaya mempereratkan silaturrahim antara para penggerak daripada pelbagai latar belakang. Suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan sambil bertukar-tukar hadiah yang dapat mengerakat perhubungan sesama mereka.

Selain itu, Mesyuarat Agung Tahunan PRUIM turut diadakan bagi membincangkan perancangan strategik serta melantik jawatankuasa baharu yang akan memimpin Rumah Ngaji Melaka bagi tahun mendatang. Proses perlantikan berjalan dengan lancar, diiringi komitmen padu daripada semua ahli untuk terus memperkasakan peranan pertubuhan.

Antara pengisian retreat ini adalahsesi tadabbur Surah al-Saff disampaikan oleh Mantan Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Dr Sofia Mohamed.
Retreat ini diakhiri dengan harapan besar agar Rumah Ngaji terus menjadi platform yang relevan dan berkesan dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih bermakna dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rumah Ngaji, sila layari https://quranhour.org/rumahngaji.




Comments on Verse