SOUL FITNESS CLINIC : “HILANG SUMBER PENDAPATAN UNTUK SARA HIDUP KELUARGA”

Bapa kepada enam anak ini kini hilang pekerjaan sebagai pemandu Grab di Kuala Lumpur akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.  Isteri beliau, Normah Ismail, 47, menutup gerai nasi lemak di Cheras sejak PKP 1.0

Pasangan yang mempunyai enam anak ini dan tinggal di rumah pusaka, Cheras tapi kini duduk di rumah sewa anak kedua, Mohd Syafirul Amin, 23, jurukimpal terlatih yang mengalami kemalangan jalan raya pada 8 Mei 2021.

“Saya membawa seluruh ahli keluarga tinggal sementara di rumah sewa anak di Bukit Lada, Kerdau, Temerloh, Pahang. Ini memudahkan saya untuk mengurus anak untuk mendapatkan rawatan berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

“Akibat kesempitan hidup, kereta Bezza yang menjadi sumber rezeki untuk bawa Grab terpaksa dijual. Syukur ada kereta lama Wira yang digunakan untuk berniaga nasi lemak boleh digunakan.”

 

Zairulazmi bersama keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19, apabila hilang pekerjaan sebagai pemandu Grab, ditambah anak lelaki kedua terlibat kemalangan pada 8 Mei 2021.

 

Beliau yang berkongsi keadaan keluarganya berkata, anak sulung berusia 24 tahun ialah orang kurang upaya yang mengalami penyakit Sindrom Williams. Beliau tidak mampu menyediakan tablet untuk kegunaan PdPR  tiga anak yang masih bersekolah, sementara yang bongsu berusia 4 tahun. Anak-anak pernah meluahkan rasa malu apabila kawan-kawan bertanya kenapa tidak ikuti kelas.

Zairulazmi pernah membuat permohonan untuk Bantuan Jaringan Prihatin bagi mendapatkan tablet untuk keperluan belajar anak tetapi tidak dapat sehingga kini.

Baru-baru ini beliau mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor RM500 sebelum. Beliau pernah memohon bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan tetapi tidak dapat kelulusan kerana pernah berdaftar dengan SSM bagi perniagaan nasi lemak.

“Saya pernah rasa hendak bunuh diri kerana tekanan hidup dan hutang sekeliling pinggang. Bila fikirkan kita ada ALLAH, hidup perlu diteruskan. Tidak dinafikan saya dan isteri pernah bergaduh kerana stres. Namun masing-masing reda kerana telah mendirikan rumahtangga 30 tahun perlu lalui kehidupan susah dan senang bersama.”

Zairulazmi mengakui beliau perlu menunjukkan sikap tenang di hadapan anak-anaknya, walaupun dalam hati rasa pecah dada. Sebagai orang luar di Bukit Lada, kurang mengenali masyarakat setempat. Namun ada juga menghulurkan bantuan. Ada kalangan penduduk kampung di situ pun ada juga mengalami keadaan sukar apabila anak dan keluarga yang duduk di bandar hilang pekerjaan kembali duduk di kampung bersama ibu bapa mereka.

Untuk menampung kehidupan harian, Zairulazmi mengambil upah hantar durian ke Bentong. Namun musim durian kian penghujung, perasaan bimbang kembali menyesakkan fikiran. Baginya, kekuatan yang ada hanyalah kembali kepada jalan ALLAH. Jika dahulu solat tidak begitu jaga, kini beliau memperbaiki amalan ibadah dan dekati ALLAH sebagai sumber kekuatan.

Mohd Syafirul Amin menerima rawatan di Hospital Haji Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang selepas terlibat kemalangan pada 8 Mei 2021.

“Sumbangan RM200 melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Soul Fitness Clinic pada 3 0gos 2021 dapat digunakan untuk membeli keperluan dapur untuk seminggu. Anak-ana seronok dapat makan nasi berlauk.

“Perancangan akan datang, saya ingin menjalankan penternakan ikan patin di sini. Ia mungkin ambil masa kerana perlu mengikuti prosedur termasuk mendapat lesen daripada pihak majlis perbandaran. Buat masa kini, saya melakukan kerja sambilan di kampung bagi menyara hidup keluarga,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga Zairulazmi Mohd Sofian, boleh salurkan bantuan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 14154-41-100003325,

Soul Fitness Clinic anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama  Sinar Harian merupakan program membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan panduan al-Quran dan Hadis. Program tersebut yang dihostkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Tuan Fazrul Ismail, disiarkan melalui platform  digital Soul Fitness Clinic dan Sinar Harian pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, jam 6 petang hingga 7 petang.

WUIF dengan kerjasama Astro Oasis mengadakan program Talian Jiwa yang bersiaran di Astro Oasis pada setiap Khamis, pukul 6 petang. Bagi mereka yang memerlukan bantuan di Soul Fitness Clinic / Talian Jiwa boleh daftar di https://bit.ly/PenerimaBantuanTV2021

Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://www.facebook.com/BySoulFitness/

Similar Posts

Leave a Reply