Semenjak Eropah melancarkan kebangkitan daripada zaman gelap, mereka telah membawa satu ideologi yang pincang, yang terhasil daripada trauma dipergunakan oleh pemerintah gereja. Mereka berpegang kepada prinsip “أعطوا ما لقيصر لقيصر وما لله لله” yang bermaksud, agama adalah hak Tuhan sementara politik adalah hak manusia.
Prinsip ini adalah sesuatu pemahaman yang pincang, dan bertentangan dengan konsep pemerintahan Islam, namun prinsip inilah yang membaluti akal setiap daripada orang muslim sehingga ke hari ini. Fahaman sekular telah merentap keyakinan umat Islam daripada berpegang bahawa Islam adalah sebuah Ad Din, iaitu sebuah cara hidup, maka segala urusan kehidupannya sehingga ke hal ehwal pemerintahan adalah termasuk dalam pengurusan Islam.
Kesan daripada kefahaman ini menyebabkan perpaduan dan kesatuan hati umat Islam sukar dicapai, kerana mereka tidak mengamalkan pemerintahan yang berteraskan tauhid kepada ALLAH SWT, dan dilindungi dengan nilai-nilai dan akhlak yang digariskan oleh Islam dan syariat-Nya. Pemerintahan dijadikan sebagai tempat untuk membina nama, kuasa dan mengumpul pengikut. Ianya berbeza dengan seruan yang disampaikan oleh panglima tentera Islam Rabi’ bin Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Parsi, Rustum.
Ketika dia ditanya oleh Rustum, apakah tujuan kedatangannya, Rabi’ bin Amir menjawab, “ALLAH telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada perhambaan sesama hamba kepada penghambaan kepada ALLAH, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Maka jelaslah, pemerintahan di dalam Islam tonggaknya adalah hidayah daripada ALLAH SWT, dan tidak bertuhankan dunia yang sementara. Apa yang hilang daripada jiwa umat Islam pada hari ini ialah menjadikan Islam sebagai sistem hidup yang syumul.
Imam Hassan Al Banna menyebutkan “Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh fenomena kehidupan. Maka ia adalah negara dan tanah air, atau kerajaan dan umat;akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan; kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman; material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Seperti mana ia adalah aqidah yang sebenar, dan ibadat yang sahih tanpa ada bezanya.”
Setelah kita memahami bahawa Islam adalah sebuah cara hidup, ia bukannya seperti pakaian yang boleh ditanggalkan, maka ia terkait dengan satu sisi, iaitu bagaimana Islam memainkan peranannya dalam memelihara sistem bermasyarakat.
Jawapannya ada pada satu nilai; iaitu ukhuwah (perpaduan). Ukhuwah bermaksud hati dan jiwa yang ditaut dengan akidah dan keimanan kepada ALLAH SWT. Asas bagi perkara ini disebutkan di dalam Surah Al Hujurat : إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ – الحجرات : ١٠ “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (QS 49:10)
ALLAH SWT menyifatkan rasa kasih-sayang ini, sekalipun seorang manusia membelanjakan seluruhan hartanya untuk menautkan rasa kasih kepada manusia yang lain, ia tetap tidak akan berlaku kerana hanya hati yang tulus kasih, saling menghormati, mempercayai di atas keyakinan yang sama, iaitu iman kepada ALLAH SWT, yang meyakini Islam adalah sebuah sistem yang kekal sahaja yang boleh menautkan kedua hati ini. Perpaduan adalah buah kepada iman, maka jika tiada iman, tiadalah perpaduan.
Jika dilihat, antara langkah awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk menubuhkan negara Islam Madinah, adalah dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Persaudaraan ini tidak mengambil masa yang lama kerana ia diikat dengan akidah, sehinggakan Saad bin Rabi` yang merupakan daripada golongan Ansar yang dipersaudarakan dengan Abdul Rahman bin `Auf, iaitu seorang Muhajirin telah menawarkan kepadanya salah seorang isterinya kepada Abdul Rahman bin Auf. Atas dasar ini juga
Baginda SAW telah berpesan dengan suatu perkara apabila Baginda sampai buat pertama kali di Madinah,
“Wahai manusia, sebarkan salam, berilah makan, hubungkan silaturahim dan dirikan solat di waktu malam ketika orang ramai sedang tidur,nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” – ( Hadis riwayat Ibn Majah, no 3251)
ALLAH SWT berfirman di dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 2,
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyi (tidak tahu membaca dan menulis), seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada kaum mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab-kitab ALLAH (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hakam syarak.) Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan (Nabi Muhammad) itu berada dalam kesesatan yang nyata.” ( QS 62:2)
Menurut Imam Ibn Asyur, makna ayat فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ menunjukkan bahawa ALLAH SWT mengutuskan Rasulullah kepada orang-orang Arab dan Baginda merupakan sebahagian daripada mereka agar mereka tidak merasa janggal dengan Baginda seperti Nabi Lut AS yang diutuskan kepada kaum Sodom. Hal ini merupakan sesuatu yang perlu mereka syukuri kerana ia juga merupakan salah satu nikmat selain hidayah dan panduan kepada mereka, dan ia juga salah satu doa Nabi Ibrahim AS yang dimakbulkan:
رَبَّنا وابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنهُمْ – البقرة: ١٢٩
“Ya Tuhan kami, utuslah di tengah-tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri..” (QS 2:129).
Maka jika mereka berpaling daripada dakwah yang dibawakan olehnya serta mengingkari apa yang disebutkan di dalam Al Quran, maka ia adalah sesuatu yang sangat merugikan dan menghinakan diri mereka kerana ia telahpun diturunkan dengan bahasa pertuturan mereka dan risalah tersebut dibawakan oleh seseorang daripada kalangan mereka sendiri.
Maka jelas, bahawa titik persamaan di antara seorang pemimpin dan rakyat adalah sesuatu yang menjadi nilai yang sangat penting untuk membentuk kesatuan hati dan menjamin penerimaan dakwah atas keyakinan kepada Allah, iaitu Tuhan yang satu, yang disembah oleh setiap manusia.
Di samping itu, ALLAH SWT juga mengutuskan Baginda SAW untuk membawa beberapa tugas penting :
1) Membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH SWT iaitu Al Quran يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِ.
2) Menyucikan mereka daripada kesyirikan dan kekotoran jahiliyah وَيُزَكِّيهِمْ
3) Mengajarkan kepada mereka isi kandungan Al Quran yang terdiri daripada hal-hal akidah dan hukum-hakam syariat وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ dan hadis Rasulullah SAW وَٱلْحِكْمَةَ .
Kesemua tugas-tugas yang dibawa oleh Baginda bertujuan untuk menanam satu tujuan utama iaitu kesucian dan kemurnian akidah kepada Allah SWT dengan mengenali Allah SWT melalui ayat-ayat yang menceritakan Kebesaran dan Kekuasaan-Nya, menghapuskan segala ibadah yang dibuat selain kepada-Nya, dan menjalani kehidupan berdasarkan syariat Islam.
Jika dilihat di dalam sirah atau sejarah dunia, kebanyakan pemerintahan yang mengamalkan ketiga-tiga nilai ini berjaya membentuk sebuah tamadun yang berjaya seperti pemerintahan Talut, negeri Saba’, orang-orang beriman yang dipimpin oleh nabi-nabi terdahulu, pembentukan negara Madinah dan perluasan kuasanya, serta pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al Fateh. Kesemua pemerintahan ini dikenali dengan kesolehan pemerintah dan rakyatnya, serta kepatuhan mereka kepada batas-batas agama.
Antara cabaran terbesar dalam membentuk perpaduan di tengah-tengah masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan cara fikir ialah pembentukan akhlak dan adab. Oleh sebab itu, kita perlulah kembali kepada wahyu untuk menguruskan perkara ini. Surah yang paling tepat untuk dirujuk ialah surah Al Hujurat, yang sarat dengan teguran berkaitan kesilapan dalam tatasusila hidup bermasyarakat.
Antara adab yang digariskan di dalam Surah al-Hujurat adalah :
1) Menjaga tutur kata dan adab berkomunikasi (ayat 2)
2) Mengamalkan tabayyun pada setiap berita yang sampai (ayat 6)
3) Melakukan intipan untuk mencari kesalahan (ayat 11-12 )
4) Mementingkan diri sendiri (ayat 13)
Maka, sangat penting untuk kita kembali kepada panduan wahyu untuk meluruskan kembali nilai dan etika masyarakat yang telah rosak.
Misi Malaysia
#QuranHour 2024 adalah untuk membawa misi untuk membentuk perpaduan dan kesatuan hati melalui kefahaman tentang nilai keimanan yang sempurna, selaras dengan hadith Rasulullah SAW:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ
Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya.” (HR Tirmizi No: 2537)
Comments on Verse