Kita selalu mendengar pesanan takwa diulang-ulang dalam khutbah, namun ia bukan sekadar lafaz. Setiap pengulangan itu bertujuan mendidik hati dan mengingatkan kita bahawa kehidupan ini tidak kekal dan kita bakal bertemu ALLAH SWT kelak untuk dipertanggungjawabkan.
Rasulullah SAW sentiasa menyeru umatnya agar mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan meninggalkan segala bentuk kebatilan, termasuklah rasuah. Rasuah bukan isu baru dalam masyarakat, ia adalah penyakit yang merosakkan integriti dan keadilan.
Dalam sejarah awal, ALLAH SWT memberikan peringatan tentang bahaya rasuah ini. Kisah Nabi Sulaiman AS dengan kerajaan Saba’ memberikan kita gambaran mengenai godaan harta yang boleh menggoncang prinsip manusia, namun seorang utusan ALLAH tidak mudah terpengaruh dengan tawaran duniawi.
Kisah Nabi Sulaiman AS dan burung Hudhud adalah antara cerita menarik yang diabadikan dalam al-Quran, sarat dengan hikmah kepimpinan, ketaatan, dan kebijaksanaan. Kisah ini memberikan teladan yang bernilai, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada sesiapa yang ingin memahami prinsip kepimpinan dan tanggungjawab dalam Islam.
Kisah si penyampai burung Hudhud
Nabi Sulaiman AS terkenal dengan kerajaan yang sangat agung dan pasukan tenteranya yang kuat, yang terdiri daripada manusia, jin, dan haiwan. Dalam satu peristiwa, Baginda menjalankan pemeriksaan barisan tenteranya. Baginda mendapati salah seekor daripada anggota tenteranya, burung Hudhud, tiada di dalam barisan. Hal ini mengundang kemarahan Baginda kerana disiplin dan ketaatan sangatlah penting dalam sebuah organisasi, lebih-lebih lagi dalam pasukan tentera yang besar.
“Aku pasti akan mengenakan hukuman berat terhadap Hudhud atau aku akan menyembelihnya, kecuali jika dia mempunyai alasan yang kukuh serta bukti yang nyata.”
Tindakan tegas Nabi Sulaiman AS ini menggambarkan betapa pentingnya disiplin dalam sebuah organisasi, di mana setiap anggota tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan tanggungjawab mereka.

Tidak lama selepas itu, Hudhud kembali dan segera berjumpa Nabi Sulaiman AS, membawa berita penting. Hudhud berkata, “Aku telah menjumpai sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya. Aku datang dari negeri Saba’ dengan membawa berita yang benar.”
Hudhud melaporkan bahawa di negeri Saba’ terdapat seorang raja yang memiliki kekuasaan besar, singgahsana yang hebat, dan rakyatnya hidup dalam keadaan makmur. Namun, malangnya, raja dan rakyat negeri tersebut tidak menyembah Allah. Sebaliknya, mereka menyembah matahari.
Mendengar berita tersebut, Nabi Sulaiman AS tidak terus bertindak terburu-buru. Sebaliknya, Baginda menggunakan pendekatan diplomasi dengan menghantar sepucuk surat kepada raja negeri Saba’, yang dikenali sebagai Ratu Balqis.
Surat itu dimulai dengan kalimah “Bismillahirrahmanirrahim” (Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang), satu tanda kebijaksanaan dalam berdakwah serta peringatan bahawa segala urusan berada dalam kekuasaan ALLAH.
Dalam suratnya, Nabi Sulaiman AS mengajak Ratu Balqis dan kaumnya untuk tidak menyombongkan diri dan menyerahkan diri kepada ALLAH. Baginda menjemput mereka untuk menyembah ALLAH dengan rendah hati, serta memberi mereka pilihan untuk menjadi Muslim yang patuh.
Apabila Ratu Balqis menerima surat tersebut, baginda berasa kagum dengan kata-kata yang tertera dalam surat tersebut. Balqis memanggil para pembesarnya untuk berbincang mengenai tindakan yang harus diambil. Para pembesar berpendapat bahawa mereka mempunyai kekuatan tentera yang hebat dan sanggup berperang jika perlu. Namun, Ratu Balqis mengambil langkah bijaksana dengan memutuskan untuk terlebih dahulu menguji keikhlasan Nabi Sulaiman AS. Baginda menghantar hadiah sebagai tanda hormat, ingin mengetahui apakah Nabi Sulaiman AS seorang nabi yang benar atau sekadar raja biasa.
Nabi Sulaiman AS menolak hadiah tersebut. Baginda berkata, “Adakah kamu menawarkan kepadaku harta? Apa yang ALLAH berikan kepadaku adalah lebih baik daripada apa yang kamu berikan.”
Penolakan Nabi Sulaiman AS terhadap hadiah tersebut menunjukkan bahawa Baginda tidak boleh dibeli dengan harta. Sikap ini menjadi teladan bagi umat Islam untuk menolak rasuah dan menjaga integriti dalam menjalankan tugas.
Ketegasan Nabi Sulaiman menolak rasuah ini menunjukkan betapa pentingnya prinsip integriti dan takwa dalam memimpin dan mengendalikan urusan duniawi. Dalam dunia hari ini, rasuah mungkin berlaku secara tersembunyi atau dianggap sebagai perkara kecil, namun hakikatnya ia memberi kesan besar kepada masyarakat. Menerima rasuah bererti mengkhianati amanah yang diberikan oleh ALLAH dan berpotensi membawa kerosakan kepada sistem sosial kita.
Jauhi orang zalim
ALLAH SWT berfirman: “Apabila engkau (Muhammad) melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka beralih ke pembicaraan lain. Dan jika syaitan benar-benar menjadikan engkau lupa (akan larangan ini), setelah ingat kembali janganlah engkau duduk bersama orang-orang yang zalim.” (Surah Al-An’am, 6: 68).
Ini adalah peringatan agar kita berhati-hati dalam memilih rakan, serta tidak terlibat dengan mereka yang melakukan perbuatan rasuah atau menyokong tindakan yang salah. Sebagai umat Islam, kita perlu tegas dan ikhlas dalam menjauhi segala bentuk kebatilan, termasuklah rasuah. Ini adalah amanah ALLAH yang akan dipertanggungjawabkan kelak.
Rasulullah SAW juga pernah ditawarkan harta dan kuasa oleh kaum Quraisy jika Baginda SAW meninggalkan dakwah Islam. Namun, Baginda menolak dengan tegas. Hukum ALLAH SWT tidak boleh dipermainkan. Rasuah bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi juga masyarakat, meruntuhkan keadilan dan menciptakan jurang sosial yang tidak adil.
Sebagai umat Islam, kita perlu meneladani prinsip dan keteguhan Nabi Sulaiman AS dan Rasulullah SAW. Mereka menjaga integriti, walaupun ditawarkan kekayaan dan kemewahan. Kita perlu yakin bahawa rezeki kita datang daripada ALLAH, Ar-Razzaq, yang Maha Pemberi Rezeki.

Dalam usaha kita menghindari rasuah, penting juga untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan memohon perlindungan ALLAH agar kita jauh daripada godaan duniawi yang merosakkan iman. Hanya dengan keikhlasan dan kepercayaan sepenuhnya kepada rezeki ALLAH, kita dapat menjaga diri kita daripada segala bentuk rasuah dan kemungkaran.
Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allah menguatkan hati kita dalam menghadapi ujian dan menjaga kita daripada terjebak dalam perbuatan rasuah, walaupun sekecil-kecil perkara. Mudah-mudahan, dengan keteguhan iman dan ketaatan kepada ajaran Rasulullah SAW, kita mampu membina masyarakat yang adil dan dirahmati oleh ALLAH SWT.

Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 8 yang bertajuk “Bahana pemberi & penerima rasuah”, disampaikan oleh Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan, Penerbitan al-Quran, Karya Bestari di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 23 Januari 2024.
Ikuti siaran semula di https://youtu.be/gazCrovvW24?si=tIpK2bF97Rxoo3no




Comments on Verse