Khutbah Jumaat Siri 5 /2024: Mati itu pasti

Ke mana sebenarnya hala tuju hidup kita? Ramai yang menganggap kejayaan itu terletak pada kedudukan, harta, dan kemasyhuran di puncak dunia. Tetapi, hakikat yang tidak boleh kita elak adalah kematian – ia pasti akan tiba, pada waktu yang kita tidak tahu. Soalnya, adakah kita benar-benar bersedia untuk pertemuan itu?

Ayat 1 dan 2 dalam Surah Al-Hajj,  ALLAH SWT menyeru dengan panggilan “Wahai manusia”, kepada seluruh manusia, termasuk orang beriman, sedang berurusan, dalam perjalanan mahupun di dalam rumah ALLAH. Mereka diberi peringatan untuk bertakwa kepada ALLAH. Sesungguhnya hari kiamat adalah saat dahsyat dan menggerunkan.

Ketika itu, ibu yang menyusui anaknya akan meninggalkan anaknya, dan seorang wanita hamil akan keguguran kerana ketakutan yang amat sangat. ALLAH SWT menggambarkan keadaan manusia yang bagaikan mabuk, walaupun sebenarnya tidak mabuk, tetapi kerana takut akan azab ALLAH yang amat dahsyat.

ALLAH SWT menggambarkan juga pada hari itu manusia keluar dari kubur mereka seperti belalang yang berterbangan, takut dan bingung, tanpa arah tuju. Manusia dalam keadaan tertunduk dan penuh ketakutan. Inilah hari yang kita semua pohon perlindungan daripada ALLAH, agar dijauhkan dari azab-Nya yang amat pedih.

Bersediakah kita menghadapi kematian yang pasti?

ALLAH SWT berfirman: “Pandangan mereka tertunduk, ketika mereka keluar daripada kubur, seakan-akan belalang yang berterbangan. Dengan patuh mereka segera datang kepada penyeru itu. Orang-orang kafir berkata, “Ini adalah hari yang sukar!” (Surah Al-Qamar : 7 – 8)

Surah Al-Jumu’ah, ayat ke-8 memberi peringatan kepada golongan Yahudi yang mengelak kematian dan mendustakan kehidupan akhirat. Mereka memesongkan ajaran dalam kitab Taurat dan hanya mengikuti hawa nafsu semata-mata. Ketika Rasulullah SAW diutus membawa kebenaran, mereka menolak keras risalah Baginda SAW.

ALLAH SWT menegaskan bahawa kematian yang cuba mereka hindari pasti datang tidak kira di mana mereka bersembunyi. Tidak menjadi syarat seseorang itu tua baru mati. Usia dan status bukan jaminan jangka hayat di dunia ini. Kematian itu rahsia ALLAH.

ALLAH SWT berfirman: “Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada dalam banteng yang tinggi dan kukuh…” (Surah Al-Nisa: 78)

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada ALLAH SWT (bahawa ALLAH akan mengampuninya).” (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila jenazah diangkat, dan orang ramai mengangkatnya di atas bahu mereka. Seandainya jenazah itu baik, jenazah itu akan berkata: Segerakan aku. Seandainya ia jenazah yang tidak baik, jenazah itu akan berkata kepada keluarganya: Celakalah. Ke mana mereka mahu pergi dengannya. Setiap makhluk akan mendengar suara ini kecuali manusia. Jika manusia mendengar, nescaya mereka akan terkejut.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pada hari Jumaat yang mulia ini, sebagai umat Islam, kita diberikan peluang yang istimewa untuk memanjatkan doa kepada ALLAH. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa terdapat waktu yang mustajab untuk doa pada hari Jumaat yang perlu kita memanfaatkan dengan berdoa bersungguh-sungguh kepada ALLAH SWT.

Mudah-mudahan ALLAH SWT mengabulkan permintaan kita dan memudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat. Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW pada hari yang penuh barakah, sebagai tanda kecintaan kepada Baginda SAW yang membawa risalah Islam. Semoga ALLAH SWT menyelamatkan kita daripada azab dan menempatkan kita dalam rahmat dan kasih-sayang-Nya Amin.

Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil

Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 5 yang bertajuk “Mati itu pasti”, disampaikan oleh Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan, Penerbitan al-Quran, Karya Bestari di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 2 Februari 2024.

Ikuti siaran semula di https://youtu.be/SfzJKd4Tl_A?si=twea0dWJlCVqN8jT

Similar Posts

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments