Khutbah Jumaat Siri 6/2024 : Sifat orang Yahudi dalam al-Quran

Dalam al-Quran dan Hadis, ALLAH SWT telah banyak memperingatkan kita tentang sifat-sifat negatif yang ada pada golongan Yahudi. Sifat-sifat ini bukanlah untuk dijadikan alasan membenci mereka, tetapi sebagai peringatan kepada kita agar tidak terjerumus dalam sikap-sikap yang sama. Jom kita perhatikan enam sifat utama yang disebutkan, agar dapat kita jadikan sempadan dan peringatan dalam kehidupan.

  1. Menyembunyikan kebenaran

Sifat pertama yang ALLAH SWT sebut adalah kebiasaan golongan Yahudi menyembunyikan kebenaran.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mencampur-adukkan kebenaran dan kebatilan dan (janganlah) kamu menyembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:42)

ALLAH SWT mengingatkan kita mengenai golongan Yahudi yang diberikan kitab namun tetap menyembunyikan kebenaran dan mengambil manfaat dunia yang sementara. Rasulullah SAW sendiri pernah berhadapan dengan golongan Yahudi yang menyembunyikan hukum rejam dalam Taurat. Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya berlaku jujur dalam menyampaikan kebenaran dan amanah ilmu.

Elakkan sifat menyembunyikan kebenaran yang membawa kesesatan.
  1. Hasad dengki

Sifat kedua adalah sifat hasad dengki yang telah banyak kali disebut dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman: “Ramai dalam kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah kamu beriman, menjadi kafir kembali, kerana rasa dengki dalam diri mereka.   Maka maafkanlah dan berlapang dadalah sehingga ALLAH memberi perintah-Nya. Sesungguhnya ALLAH memberi perintah-Nya. Sesungguhnya ALLAH Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (Surah Al-Baqarah, 2: 109)

Sifat dengki ini sering mendorong mereka untuk menyesatkan orang lain. Kita juga dapat melihat sifat ini meresap dalam masyarakat kita hari ini, sehingga ada yang menggunakan sihir untuk menjatuhkan satu sama lain. Penting untuk setiap Muslim melalui proses tazkiyah (pembersihan jiwa) agar dapat mengawal sifat dengki ini.

Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat.

Makhluk pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis. Manakala orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil. Ketika itu dia berhasad dengki kepada adiknya Habil sehingga membunuh saudara sendiri. Kisah tersebut perlu dijadikan pengajaran bagi mereka yang mahukan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Hasad dengki dari hati yang tidak tenang.
  1. Memakan riba

Sifat ketiga yang disebutkan adalah kecenderungan golongan Yahudi untuk mengambil riba, walaupun ia diharamkan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan kerana mereka mengamalkan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripada melakukannya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan cara tidak sah (batil). Dan kami sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih.” (Surah An-Nisa, 4:161)

Ramai di antara kita yang masih terlibat dalam amalan riba, sedangkan ia jelas mendatangkan kemurkaan ALLAH. Walaupun Islam mengharamkan riba, namun ada yang masih mengabaikan larangan ini. Inilah masa untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri dari amalan yang membinasakan ini.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH dan tinggalkan sisa riba (yang belum dikutip) jika kamu orang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, maka umumkanlah perang daripada ALLAH dan Rasul-Nya. Tetapi jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas hartamu. Kamu tidak berbuat zalim  (merugikan) dan tidak dizalimi (dirugikan).”  (Surah Al-Baqarah, 2 : 278 – 279)

  1. Menerima rasuah

ALLAH SWT mengecam sikap suka mengambil rasuah, satu lagi sifat buruk yang perlu dijauhi.

ALLAH berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak daripada orang-orang alim dan rahib-rahib merekia benar-benar memakan harta orang denganjalan yang batil, dan (mereka) menghalang (manusia) daripada jalan ALLAH. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mndapat) azab pedih.” (Surah Al-Taubah, 9: 34)

Para ulama tafsir mentafsirkan makan harta secara salah ini sebagai rasuah. Rasuah telah menular dalam masyarakat kita daripada peringkat rendah hingga peringkat tertinggi. Sikap tamak tanpa peduli halal atau haram adalah sikap yang jelas menjerumuskan ke lembah dosa.

Rasuah boleh merosakkan diri, keluarga, organisasi dan negara.
  1. Tidak mengamalkan ilmu

Golongan Yahudi juga digambarkan sebagai mereka yang tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari.

ALLAH SWT berfirman: “Sifat-sifat Nabi Muhammad SAW telah pun diterangkan di dalam Kitab Taurat, tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya), maka bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat  tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab tebal (sedangkan ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan ALLAH, dan (ingatlah) ALLAH tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Surah Al-Jumu’ah, 62: 5)

Ayat ini bukan sahaja merujuk kepada golongan Yahudi, tetapi juga setiap Muslim yang tahu tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajari. Betapa banyak hukum yang kita tahu namun kita masih mengabaikannya.

  1. Melanggar perjanjian

Sifat keenam yang disebutkan adalah kecenderungan golongan Yahudi untuk melanggar perjanjian.

ALLAH SWT berfirman: “Dan (ingatlah) ketika kami mengambil janji kamu dan kami angkat Gunung (Sinai) di atasmu (seraya berfirman), “Berpegang teguhlah dengan apa yang telah Kami berikan kepadamu dan ingatlah apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertakwa. Kemudian, setelah itu kamu berpaling. Maka sekiranya bukan kerana kurniaan ALLAH dan rahmat-Nya kepadamu, pasti kamu termasuk golongan orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah, 2: 63-64)

ALLAH SWT mengutuk mereka kerana mencabuli perjanjian dan mengabaikan ayat-ayat ALLAH. Dalam kehidupan seharian, kita juga sering melihat ada dalam kalangan kita yang tidak mematuhi perjanjian, sama ada dalam urusan jual beli, hutang, atau pernikahan. Memelihara perjanjian adalah satu tuntutan dalam Islam yang perlu dijaga.

Khutbah Jumaat ini mengajak kita untuk mengambil iktibar dan menjauhi sifat-sifat ini. Kekejaman Yahudi Zionis di bumi Palestin menunjukkan betapa zalimnya sikap mereka. Pada masa sama, janganlah kita mencerca dan mencaci orang Yahudi, sebaliknya kita perlu berhati-hati agar tidak terikut-ikut dengan sifat-sifat yang sama.

Bersamalah kita berusaha menjauhi sifat-sifat ini, memperbaiki diri, dan sentiasa bermuhasabah agar menjadi Muslim yang sebenar. Semoga ALLAH SWT memberi perlindungan kepada kita daripada sifat-sifat buruk ini dan sentiasa mendapat rahmat serta hidayah ALLAH SWT.

Khatib Dr Muhammad Arif Musa, Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia

Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 6 yang bertajuk “Sifat orang Yahudi dalam al-Quran”, disampaikan oleh Khatib Dr Muhammad Arif Musa, Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 9 Februari 2024.

Ikuti siaran semula di https://youtu.be/iflB7VqPcnk?si=z0HeCHn5q_S1CbPd

 

Similar Posts

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments