Majoriti umat Islam tidak menjamin kekuatan ekonomi jika tidak disertai dengan penguasaan ilmu dan kesatuan. Untuk bangkit sebagai ummah yang kukuh, kita perlu bermuhasabah diri dan kembali kepada prinsip al-Quran dan Sunnah. Kunci utama terletak pada pendidikan yang berkualiti dan perpaduan yang kuat. Hanya dengan ilmu, usaha bersepadu, dan kolaborasi, kita mampu membina ekonomi yang teguh dan menyeluruh bagi umat Islam.
Dalam arus kebangkitan ekonomi di rantau Nusantara, nama Prof Dr Chairul Tanjung Ghafar menjadi simbol kejayaan dan inspirasi. Beliau sebagai tokoh usahawan ternama dari Indonesia, beliau bukan sahaja merupakan Pengasas dan Pengerusi CT Corp, tetapi juga individu yang berjaya mengubah landskap industri perkhidmatan awam, perkhidmatan kewangan, media, gaya hidup, runcit, hartanah, dan hiburan di rantau ini.
Sebagai seorang usahawan selama lebih 43 tahun, beliau telah melalui perjalanan yang panjang. Bermula daripada perniagaan kecil-kecilan tanpa modal, sehingga menjadi salah seorang konglomerat terbesar di Asia.
“Saya percaya bahawa kejayaan umat Islam hanya akan tercapai jika kita berusaha untuk membina budaya kerja keras, disiplin, dan inovatif. Harimau Asia hanya akan bangkit jika umat Islam di Nusantara bersatu, berkolaborasi, dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam semua bidang.”

Perkongsian beliau pada sesi Ucaptama bertajuk “Kebangkitan Harimau Asia di Nusantara” sempena Forum Serantau YAPEIM anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) pada 1 Oktober 2024 di Putrajaya mampu memberi inspirasi kepada peserta yang terdiri dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara.
Beliau bercakap mengenai potensi kebangkitan ekonomi umat Islam di rantau Nusantara, terutamanya dalam konteks menghadapi cabaran global. Baginya, forum ini menjadi platform penting dalam bersinergi dan memperkasakan ekonomi madani.
FSY bertemakan “Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” selama dua hari disertai oleh lebih 500 peserta dari Malaysia, Indonesia, Kemboja, Singapura, Brunei, Thailand, dan United Kingdom. Mereka berkongsi pandangan mengenai cabaran semasa dalam ekonomi Islam dan inisiatif untuk memajukannya melalui sinergi serantau.
Pada 2023, Chairul Tanjung disenaraikan sebagai individu ke enam terkaya di Indonesia oleh Forbes. Beliau yang dikenali “Si Anak Singkong” menjadi ikon usahawan Muslim di rantau ini. Dalam perkongsian “Kebangkitan Harimau Asia”, beliau menekankan usaha untuk memajukan komuniti Islam di Nusantara. Penduduk Muslim memberi penekanan kepada usaha memajukan komuniti Islam di Nusantara.
Seramai 253 juta penduduk Muslim di Nusantara iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand. Ini menyumbang kepada 42 peratus di Asia Tenggara dan 25 peratus di dunia.
Chairul Tanjung berkata, meskipun umat Islam merupakan majoriti dari segi bilangan, namun mereka masih ketinggalan dalam penguasaan ekonomi. Di Indonesia yang mempunyai 280 juta penduduk dengan 85 peratus daripadanya beragama Islam, tiada seorang pun Muslim yang mengawal syarikat terbesar di negara tersebut.
Begitu juga di Malaysia, hanya segelintir usahawan Muslim yang berada dalam kalangan terkaya. Ini mencerminkan masalah besar dalam ekonomi umat Islam di rantau ini, walaupun dari segi populasi kita besar, kita masih minoriti dari sudut ekonomi.
Kata beliau, ada lima musuh utama yang menghalang kemajuan umat Islam:
- Kebodohan
- Kemiskinan
- Kesenjangan/ketertinggalan
- Ketidakpedulian
- Kemalasan
Inilah perkara yang perlu diperangi untuk memajukan umat Islam.
Hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan bahawa walaupun umat Islam ramai, mereka seperti buih di lautan – lemah dan mudah diabaikan kerana terlalu cinta dunia dan takut akan kematian. Maka, umat Islam perlu bangkit dengan mengatasi musuh-musuh ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Akan hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit? Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai, tetapi kamu hanya seperti buih seumpama buih air banjir. Dan ALLAH akan cabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu, dan ALLAH akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda Baginda SAW: Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” (Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)
Kunci kebangkitan: pendidikan dan penguasaan teknologi
Bagi Chairul, kunci utama untuk memecahkan kitaran kemiskinan adalah pendidikan. Pendidikan yang berkualiti, akses yang luas, serta kemahiran teknologi adalah kunci kepada kebangkitan ekonomi umat Islam. Beliau menekankan bahawa umat Islam tidak boleh lagi terperangkap dalam budaya kemiskinan yang hanya mengharapkan bantuan dari pihak luar. Umat perlu berdisiplin, bekerja keras, dan bersikap inovatif.
Selain itu, penguasaan teknologi juga dianggap kritikal. Dalam era digital, umat Islam perlu menguasai teknologi untuk bersaing di peringkat global. Pendidikan harus diutamakan, bukan sahaja dari segi bilangan, tetapi juga dari segi kualiti, agar umat Islam dapat bersaing dengan produk berkualiti antarabangsa.
Beliau turut mengkritik budaya “instan” (segera) yang merosakkan komuniti kita. Budaya seperti ingin cepat kaya dengan jalan pintas, ingin cepat selesai urusan dengan suapan, atau ingin cepat berjaya tanpa usaha keras hanya akan melahirkan generasi yang lemah. Beliau menyeru umat Islam supaya tidak terjebak dengan budaya tersebut, sebaliknya mengamalkan budaya kerja keras, inovatif, dan berdisiplin.

“Untuk menjadi pemimpin yang berjaya, seseorang perlu memiliki semangat juang yang tinggi. Analogi kehidupan kupu-kupu yang memerlukan usaha keras untuk keluar dari kepompong sebelum boleh terbang dengan sayap yang kuat. Jika umat Islam dilatih dengan semangat juang yang tinggi, mereka juga boleh menjadi umat yang kukuh”
Chairul juga menekankan pentingnya kolaborasi antara kerajaan, ulama, usahawan dan umat dalam kebangkitan ekonomi. Ulama perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dan pendamping umat, bukan sekadar menyampaikan ceramah mengenai siksa kubur, tetapi juga membimbing umat dalam menguasai dunia untuk mencapai kejayaan di akhirat.
Bidang keusahawan perlu lebih berperanan dalam mencipta peluang perniagaan dan inovasi baru. Jika semakin ramai usahawan dalam sesebuah negara, semakin maju negara tersebut. Usahawan adalah pencipta peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Dengan kebangkitan usahawan dan pemimpin Islam yang inovatif, rantau Nusantara berpotensi untuk menjadi kuasa ekonomi Muslim terbesar di dunia.




Comments on Verse