KISAH MYQT 0019
Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 memberi peluang saya untuk bekerja dari rumah. Saya sebagai ‘Oma’ (nenek) kepada dua orang cucu mula menggemari program Malaysia #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah.
Kesempatan duduk di rumah juga membuatkan saya dengan cucu saya, Maryam Madina Mohd Raslam, 3, menjadi sahabat baik untuk menonton bersama dan mendengar bacaan al-Quran yang indah daripada Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, bersama Ustaz
Fazrul Ismail yang menyampaikan tadabbur.
Maryam memang amat menggemari al-Quran. Setiap kali saya membaca al-Quran, Maryam duduk di sebelah saya sambil menyebut kalimah tersebut walaupun kurang jelas. Melihat kesungguhan Maryam untuk mendekati al-Quran, saya mengajarnya bermula dengan Iqra’. Mudah-mudahan dia menjadi orang solehah. Amin
Sebenarnya sejak dahulu saya berhajat untuk belajar tadabbur, namun perancangan tersebut hendak dilakukan selepas bersara. Alhamdulillah, program Malaysia #QuranTime dan My #QuranTime di TV AlHijrah memberi peluang keemasan buat saya untuk mengikuti tadabbur al-Quran.
Kebiasaannya saya hanya baca terjemahan al-Quran, tetapi tidaklah begitu faham. Saya tidak tahu apakah maksud di sebalik ayat al-Quran tersebut. Apabila Ustaz Fazrul memberi tadabbur, barulah saya faham dan nampak kaitan ayat al-Quran dalam kehidupan kita.
Pesanan ALLAH SWT yang kekadang keras dan rigid membuat saya ‘sentap’. Tapi ALLAH beri solusi, nasihat dan motivasi untuk kita kembali kepada-Nya. Ada sesetengah orang apabila mendapat ayat ‘sentap’, terus berhenti dan tidak kembali merujuk kepada al-Quran. Ini adalah merugikan bagi mereka yang meninggalkan al-Quran.
Saya tertarik dengan perkataan hidayah yang disebut juga sebagai hadiah daripada ALLAH SWT.
Al-Quran perlu dibaca,difahami dan diamalkan. Kini Malaysia #QuranTime memberi peluang kepada saya untuk mencapai impian belajar tadabbur sebelum bersara. Terima kasih ALLAH. ALLAH Maha Baik. Saya yang masih bekerja dari rumah sehingga hujung tahun dapatlah belajar al-Quran.
Melalui My #QuranTime, saya tertarik untuk memberi sumbangan al-Quran wakaf dengan harapan agar lebih ramai orang untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Di sini saya kongsikan video cucu kesayangan saya, Maryam Madina.
Daripada
Puan Mahani
Sg Ramal, Kajang
——————————————————————————-
P/S: Jika ada berminat untuk berkongsi kisah inspirasi berwakaf dan mencari keredaan ALLAH, boleh emelkan nukilan anda kepada [email protected] WhatsApp nukilan anda di 019 380 3635.
Misi MENGQURANKAN BANGSA, MENGIKHLASKAN UMMAH
#WakafQuran
#QuranCorner
#TroliIbadah