Petronas #QuranHour : Melestari Masa Depan Bersama berpandukan Surah Al-Saff
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Petronas telah menganjurkan Petronas #QuranHour bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Petronas Kali ke-23, 2024M/1446H, yang berlangsung pada 9 Disember 2024 di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Program istimewa ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Saff yang dipimpin oleh Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, dan diselang-selikan dengan sesi tadabbur oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Tadabbur bertemakan “Istiqamah Melestari Masa Depan Bersama Berpandukan Surah Al-Saff” mengupas hikmah dan panduan yang relevan untuk individu dan organisasi. Coach Jamil Wahab, Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, bertindak sebagai moderator sepanjang program berlangsung.

Menurut Fazrul, ayat 1 dalam Surah Al-Saff mengingatkan kita bahawa semua makhluk dan alam semesta bertasbih dan memuji ALLAH SWT, Maha Pencipta. Sejak jutaan tahun dahulu, organisme bertasbih mengikut peraturan ALLAH SWT, kemudian mati dan berlaku proses petroleum. Kaitannya dengan bidang petroleum amat dekat, proses pembentukan petroleum berlaku dengan izin dan ketetapan ALLAH SWT.
Beliau menekankan bahawa beristiqamah dalam tasbih dan ketaatan kepada ALLAH SWT adalah asas penting untuk mencapai kebahagiaan dan produktiviti. Mereka yang lalai daripada fitrah ini, seperti melanggar waktu solat atau tidak bertasbih, akan merasakan tekanan dan ketidaktenangan dalam hidup.

Selain itu, Surah Al-Saff juga menjadi panduan dalam membentuk pasukan impian (My Dream Team) bagi sesebuah organisasi. Ayat 10 hingga 12, ALLAH SWT menawarkan ‘perniagaan yang menguntungkan’ iaitu keimanan kepada ALLAH SWT, perjuangan membela agama-Nya dengan harta dan jiwa, serta ganjaran syurga dan pengampunan dosa.
Fazrul turut menyatakan bahawa Petronas mempunyai tanggungjawab besar untuk melestarikan nikmat ALLAH melalui sumber petroleum, memastikan ia membawa kebaikan kepada umat manusia. Dari aspek organisasi, ia memang mencabar apabila berhadapan dengan dengan staf yang tidak buat kerja dan lambat. Oleh itu, kita perlu bersatu padu dan tunjukkan kesetiaan untuk memajukan organisasi.
Dengan berpandukan nilai al-Quran, organisasi seperti Petronas mampu menyebarkan kebaikan, membina legasi yang kukuh, dan mencapai istiqamah hingga ke syurga.

Program #QuranHour terbuka kepada mana-mana organisasi yang berminat untuk memaknai al-Quran dengan pendekatan baca, faham dan amal. Untuk maklumat lanjut sila layar Facebook Quran Hour atau boleh hubungi [email protected].