Setiap kelahiran insan di dunia ada manual disediakan iaitu al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH SWT melalui junjungan Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, dua sumber utama dalam kehidupan seseorang adalah al-Quran dan Sunnah. Namun untuk mendalami kedua-dua sumber tersebut dan mempraktikkan ilmu tersebut, perlulah berguru dengan orang yang berilmu.
Untuk mengajak lebih ramai mendekati al-Quran, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menggerakkan kempen #QuranHour, iaitu berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Antara program tahunan adalah World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour dan World #QuranConvention.
WUIF terus mengorak langkah dalam membumikan Al-Quran dan Sunnah melalui program Wellness #QuranHour di Masjid Darul Ehsan, SS 15, Subang Jaya pada pukul 9.30 pagi – 11 pagi, 21 September 2024.Program tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah ayat 1-5 yang dipimpin oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, diikuti sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Tuan Haji Fazrul Ismail.
Menurut beliau, Surah Al-Fatihah yang terdiri daripada tujuh ayat ini dianggap sebagai ringkasan kepada 113 surah yang lain dalam al-Quran. Ia terdapat tiga komponen besar yang mencerminkan asas agama kita.
Ayat 1 hingga 4 menekankan tentang akidah dan tauhid kepada ALLAH dan Hari Akhirat, manakala ayat ke-5 menyentuh tentang ibadah dan syariat dalam kehidupan. Seterusnya, bahagian ketiga surah ini mengajarkan kita untuk memohon petunjuk ke jalan yang lurus dan akhlak yang baik seperti mereka yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT. Oleh itu, tiga komponen utama iaitu akidah, ibadah, dan akhlak menjadi tunjang penting dalam kehidupan beragama kita.
Dalam Surah Al-Fatihah, kita memohon hidayah kepada ALLAH SWT, dan permohonan ini dijawab melalui Surah Al-Baqarah, yang bermula dengan Alif Lam Mim.

Fazrul menjelaskan bahawa Alif Lam Mim bukanlah ilmu baru, tetapi sikap yang perlu ada pada kita. “Saya tak tahu, hanya Allah yang tahu,” adalah pengakuan kita sebagai hamba-Nya. Huruf hijaiyah ini sendiri adalah tanda bahawa Nabi Muhammad SAW tidak mampu mencipta al-Quran, melainkan ia adalah wahyu daripada ALLAH SWT.
Surah Al-Baqarah juga mengandungi tema besar tentang kepimpinan melalui empat kisah utama: Nabi Adam AS, Bani Israel, Nabi Ibrahim AS, dan umat Islam. Kisah-kisah ini memberikan contoh sifat kepimpinan yang harus menjadi teladan bagi kita hari ini. Kita sebagai pemimpin keluarga, komuniti, atau organisasi, perlu mempunyai sikap Alif Lam Mim, yakni menyedari bahawa masih banyak yang kita tidak tahu dan perlu sentiasa membuka diri untuk menerima petunjuk daripada ALLAH SWT.
Pada Wellness #QuranHour turut mengetengahkan Surah Al-Jumu’ah untuk diambil ibrah. Pentadabbur, Fazrul berkata, Surah Al-Jumu’ah, merupakan sebahagian daripada rangka kesejahteraan dalam kehidupan kita. Dalam ayat 1 surah ini, ALLAH SWT mengingatkan bahawa segala yang ada di langit dan bumi bertasbih kepada-Nya, yang Maha Raja (Al-Malik), Maha Suci (Al-Quddus), Maha Berkuasa (Al-Aziz), dan Maha Bijaksana (Al-Hakim).
Pujian bagi ALLAH yang Maha Berkuasa
Al-Malik sebagai Penguasa seluruh alam, mengawal segala yang besar seperti matahari dan bulan, hingga kepada yang kecil seperti degupan jantung kita. Tiada seorang pemimpin manusia pun, walau sehebat mana pun dia, dapat mengawal seluruh alam seperti Al-Malik. Kesedaran ini mengingatkan kita bahawa kesihatan dan kesejahteraan diri kita sepenuhnya berada dalam kekuasaan-Nya.
Al-Quddus, ALLAH yang Maha Suci memerlukan kita untuk sentiasa mensucikan diri, baik dari segi amalan fizikal mahupun rohani. Kesucian ini penting bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan kita. ALLAH SWT juga sebagai Al-Aziz (Maha Berkuasa), yang mengingatkan kita tentang ketetapan-Nya yang lebih ketat daripada undang-undang manusia. Jika kita tidak menjaga kesihatan tubuh kita, kita mungkin dikenakan “saman” yang lebih berat daripada peraturan manusia biasa.
Namun, ALLAH Al-Hakim memberikan kita peluang untuk memperbaiki kesilapan dan kekurangan dalam menguruskan kesihatan. ALLAH SWT tidak terus menghukum kita, tetapi memberi kita masa untuk kembali kepada-Nya dan memperbaiki gaya hidup agar kita dapat beribadah dengan lebih baik.

Ayat 1, Surah Al-Jumu’ah menekankan betapa pentingnya menjaga kesejahteraan diri sebagai satu ibadah. Kesihatan fizikal dan rohani adalah anugerah daripada ALLAH SWT, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memeliharanya dengan baik. Al-Quran bukan sahaja mengingatkan kita tentang akhirat, tetapi juga memberi petunjuk untuk kehidupan dunia, termasuk menjaga kesihatan tubuh badan.
Semoga melalui Wellness #QuranHour ini, kita semua dapat mengambil iktibar dan terus membaca serta memahami Surah Al-Jumu’ah sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki kesejahteraan dalam kehidupan kita. Perjuangan Rasulullah SAW bukan sahaja berkaitan dengan urusan akhirat, tetapi juga dengan kehidupan dunia, termasuk hak tubuh badan kita yang harus dipelihara sebaik mungkin.
Wellness #QuranHour bukan sekadar program tadabbur biasa, tetapi ia juga satu usaha untuk memperbaiki kesejahteraan diri kita secara holistik. Jom kita menjadikan al-Quran sebagai panduan, dan terus mencari petunjuk serta hidayah daripada ALLAH SWT untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, sihat, dan penuh keberkatan.




Comments on Verse