World #QuranHour tahun ini genap satu dekad dalam usaha menyebarluaskan nilai-nilai Al-Quran ke seluruh dunia. Bertemakan #SavingTheUmmah, Surah Al-Saff dipilih sebagai surah utama yang menekankan kepentingan kesatuan ummah dalam memperjuangkan agama ALLAH SWT.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) diadakan di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446H.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, Surah Al-Saff membawa seruan untuk umat Islam bersatu seperti Bunyanun Marsus, satu saf yang tersusun kukuh, dan mencontohi semangat Hawariyyun, para pembantu agama ALLAH yang setia.
“Dalam menghadapi cabaran global, terutamanya situasi di Palestin, kesatuan ummah menjadi semakin penting. Surah Al-Saff memberikan pedoman agar umat Islam terus bersatu, berjihad dengan harta dan jiwa, serta membentuk barisan yang teguh dalam mempertahankan kebenaran.
“Ayat 14 daripada surah ini menjadi inspirasi agar umat Islam tampil sebagai ejen perubahan dengan jihad melalui harta dan jiwa, dalam memastikan kelangsungan perjuangan menegakkan kebenaran.”

Ciri-ciri golongan Hawariyyun adalah kehambaan yang terhasil daripada tasbih, berintergriti, konsisten dan berakhlak mulia. Dengan hati yang ikhlas, iman yang tulus dan rasa kebersamaan, kita berkorban harta dan jiwa meraih ganjaran ALLAH SWT (61:12), bantuan ALLAH (61:13) dan kejayaan (61:13).
Surah ke 61 ini mengetengahkan tonggak utama sebagai asas kesatuan ummah: Konsisten & integriti (61:2-3), Kesatuan (61:4), Kepimpinan & kepatuhan (61:5-6), Komitmen harta & jiwa (61:11), dan Kerjasama & saling membantu (61:14).
Tambah beliau, untuk menarik penyertaan generasi muda, World #QuranHour 2025 memperkenalkan beberapa inisiatif di lokasi perdana. Antaranya, Duit Raya #SaffChallenge – Pertandingan mengambil gambar bersama rakan dalam bentuk saf yang tersusun dan menyebarkan mesej Surah al-Saff bermula 13 – 23 Mac 2025. Pemenang terpilih menerima hadiah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM hari ini (25 Mac 2025).
Pasar Ummah Ikhlas – Sebuah inisiatif infak oleh WUIF bagi menggalakkan orang ramai menyumbangkan barangan preloved, keperluan asas, pakaian dan barangan kering kepada mereka yang memerlukan. Semua hasil kutipan akan disalurkan kepada Tabung Endowment Fund UIAM, membantu lebih 500 penerima zakat dan 1,800 B40. Seterusnya, Games Al-Saff (Pasar Ummah Ikhlas) – Peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui cabaran permainan berpandukan Surah al-Saff.
Sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh Qari Syeikh Mu’min Falah, Ustaz Shukri Ali, Dr Syeikh Anas Abojaish, Ustaz Abdul Jalil, Ustaz Asfandyar. Manakala, barisan pentadabbur terdiri daripada Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail; Pensyarah Kuliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Dr Khairul Husaini; Pensyarah CELPAD, UIAM dan Presiden MURSHID, Ustaz Abdullah Bukhari.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar memberi Pesan Pemimpin, kemudian diikuti dengan bacaan ikrar yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha 1, Persatuan Pelajar UIAM, Amenulrahman Hakimi Rosdi. Acara ini diakhiri dengan bacaan doa oleh Imam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Ustaz Ramadhan Subky.
Sepanjang majlis ini, ia dihoskan oleh selebriti Fakhrul Radhi dan Daie Muda YADIM, Zaim Zaim, serta diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat oleh Abdul Hakim Badarul Zaman.

World #QuranHour tahun ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, iaitu Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj; YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.
Kehadiran figura penting ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan al-Quran dalam kehidupan seharian di segenap lapisan masyarakat.
Sehingga semalam (24 Mac 2025, 5 petang), sebanyak 1,370 lokasi di seluruh negara dan 25 lokasi di 19 negara berdaftar bagi penganjuran World #QuranHour.
Kempen #QuranHour selama 10 tahun ini telah mencetuskan gelombang al-Quran yang merangkumi World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranConvention. Dalam tempoh ini, kempen ini telah mencapai 7.72 bilion capaian di media sosial serta diadakan di 313 lokasi di 76 negara.
Astro Oasis sebagai Penyiar Rasmi World #QuranHour dan Bernama TV menyiarkan World #QuranHour secara langsung pada hari tersebut. Antara rakan media bersama Astro Oasis, TV AlHijrah, Astro Awani, RTM, Bernama, Sinar Harian, Sinar Islam, Sinar Daily, Nu Ideaktiv, Denaihati.com, Media JAKIM, TV IKIM, IKIM FM, Radio Zayan dan Media Prima.
World #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama rakan strategik seperti UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Karya Bestari, KDEB Waste Management, KL Tower Malaysia, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rasuah Buster, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran serta badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara. Program ini turut disokong melalui tajaan daripada Wardah dan Yayasan Taqwa.
Comments on Verse