Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) telah menganjurkan program #QuranHour #SavingTheUmmah bertemakan “Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team”. Program ini berlangsung di Dewan Anggerik, Aras 4, JKR, Seksyen 17, Shah Alam pada 5 Disember 2024.

Acara dimulakan dengan Forum Refleksi Surah Al-Saff: My Dream Team yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Tuan Haji Fazrul Ismail. Forum ini turut disertai dengan bacaan al-Quran yang dipimpin oleh Qari My #QuranTime, Halim Zainudin.
Program ini dihoskan oleh Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Coach Jamil Wahab, yang juga bertindak sebagai moderator sesi kedua bersama Konsultan Kandungan, WUIF, Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof.
Dalam sesi tersebut, Fazrul menekankan bahawa Surah Al-Fatihah, yang dibaca 17 kali dalam solat lima waktu, adalah sinopsis kepada kejayaan. Beliau juga menjelaskan bahawa Surah Al-Baqarah memberi panduan modul kepimpinan, dengan menekankan kepentingan ilmu, kemahiran, dan sikap untuk membentuk “My Dream Team”.

Menurut beliau, Ayat 1 Surah Al-Baqarah, “Alif Lam Mim,” membawa isyarat bahawa hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Sebagai hamba-Nya, manusia perlu bergantung sepenuhnya kepada ALLAH dan sentiasa taat kepada-Nya.
ALLAH SWT berfirman: “Segala yang ada di langit dan di bumi, tetap mengucap tasbih kepada ALLAH, dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha bijaksana”. (Surah al-Saff: 1)
Tambah Fazrul, tasbih kepada ALLAH adalah terapi ketenangan yang membantu manusia berdamai dengan alam. Untuk membina pasukan impian, setiap individu perlu mengakui kelemahan diri, berusaha dengan bersungguh-sungguh, dan menyerahkan sepenuhnya segala urusan kepada ALLAH yang Maha Bijaksana.
Kita mungkin ada melakukan kesalahan, kesilapan mahupun menghadapi cabaran dalam kehidupan. Namun tidak kita mudah gelabah jika tidak bergantung sepenuhnya atas diri kita, tetapi kepada ALLAH SWT yang Maha Kuasa. Kita rasa kosong atau keliru kerana tidak cukup ilmu. Kita perlu sentiasa memohon pertolongan ALLAH dalam setiap perkara dalam kehidupan.
Beliau menekankan kepentingan kejujuran dalam pekerjaan. Jika seseorang pekerja mengharapkan ganjaran terbaik, mereka juga perlu memberikan usaha terbaik. Hal ini juga selari dengan konsep ekosistem alam, di mana gangguan akan berlaku jika sistemnya tidak teratur.

Ayat 2 dalam Surah al-Saff, ALLAH memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman untuk berkata konsisten dengan perbuatan, dan bukannya cakap tak serupa bikin. Jadilah orang jujur kepada diri sendiri. Jika alam ini tidak mengikut sistem yang ditentukan oleh ALLAH, maka berlaku gangguan ekosistem.
Mungkin ada kalangan pekerja yang malas membuat kerja, selalu lambat datang, ponteng kerja dan menolak kerja yang diberi. Namun di penghujung bulan dia mengharapkan gaji penuh. Untuk dapat ganjaran yang terbaik, kita perlu buat yang terbaik.
ALLAH SWT berfirman: “Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff: 3)
Ayat 4 menyatakan ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. Kekuatan setiap warga kerja berbeza namun kesatuan mereka mampu membina kumpulan dinamik dan mengukuhkan organisasi. Ia ibarat binaan rumah lengkap dengan bumbung, lantai, pintu, tingkap, lampu yang mempunyai peranan masing-masing.

Apabila setiap orang ‘sedar diri’ dengan tugas dan tanggungjawab, hidup menjadi lebih tenang dan sejahtera. Untuk membina kesihatan mental yang baik, kita perlu buat perkara dengan betul. Sesebuah organisasi selamat sekiranya warga kerjanya benar-benar beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya.
JKR berperanan melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri seperti jalan, bangunan, lapangan terbang, pelabuhan dan jet. Tugas mereka dapat memberi manfaat kepada orang ramai.
Semangat memberi pihak JKR dari segi jiwa (ilmu, kemahiran dan masa) dan harta ke arah kebaikan selari dengan ayat 10 dan 11 dalam Surah al-Saff. ALLAH SWT memberi ganjaran kejayaan yang besar iaitu keampunan-Nya dan Syurga Adn kepada orang yang berjihad dengan jiwa dan harta dalam membela agama.
Pada sesi kedua, Ustaz Saifuddin memfokuskan ayat 14 yang mengajak orang beriman untuk menjadi golongan Hawariyyun yang bermaksud pembela agama. Sebenarnya setiap orang boleh menjadi hawariyyun, seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh untuk membantu agama ALLAH.
Siapakah yang sanggup menjadi hawariyyun? Beliau menjelaskan bahawa setiap individu mampu menjadi Hawariyyun dengan memberi sumbangan tanpa syarat kepada agama dan masyarakat.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) ALLAH sebagaimana (pengikut-pengikutnya) Nabi Isa ibni Maryam (ketika dia) berkata kepada pengikut-pengikutnya itu. “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalanan) kepada ALLAH (dengan menegakkan agama-Nya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) ALLAH!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka segolongan daripada kaum Bani Israil beriman, dan segolongan lagi (tetap) kafir. Lalu kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang.” (Surah al-Saff: 14)
Beliau turut mengingatkan bahawa komunikasi berkesan antara ketua dan pekerja adalah asas kepada kesejahteraan pasukan. Apabila kita dalam satu pasukan perlu tahu peranan masing-masing dan lakukan yang terbaik. Ini menjadikan kesihatan mental lebih stabil. Pepatah “jaga tepi kain orang” bukan “jaga dalam kain orang” itu adalah praktikal untuk pemimpin dan rakan sekerja memastikan kesejahteraan pasukan. Kemahiran komunikasi itu penting antara ketua dan pekerja bagi memastikan kejayaan organisasi.
AKRAB memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan di JKR dengan menyediakan bimbingan dan sokongan kepada warga kerja yang menghadapi cabaran kehidupan. Pengerusi AKRAB JKR Selangor, Ismail Hanafi, memaklumkan bahawa lebih 100 warga kerja menyertai program ini yang menggalakkan amalan membaca, memahami, dan mengamalkan al-Quran.
Sejak 2022, JKR Selangor telah membuka Quran Corner dengan sumbangan al-Quran wakaf daripada WUIF bagi memudahkan kakitangan membaca al-Quran.
Program #QuranHour ini bukan sahaja menjadi panduan untuk membina pasukan impian tetapi juga menguatkan hubungan warga kerja dengan al-Quran dan ALLAH.
Sesiapa yang berminat untuk sertai Quran Corner, sila hubungi 011-6113 8680. Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook QuranHour.
Comments on Verse