Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, mengenal ciri-ciri hati yang hidup bagi orang beriman. Ayat 6 dan 7 menunjukkan golongn hati yang mati. Mereka digelar sebagai orang kafir yang dikunci hatinya. Manakala ayat 8 hingga 20, menunjukkan ciri-ciri hati yang sakit, iaitu golongan orang munafik yang menipu keimanannya.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, sama ada engkau (Muhammad) memberikan peringatan atau tidak kepada mereka, mereka tidak akan beriman. ALLAH telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.” (Surah Al-Baqarah: 6- 7)
Pentadabbur MY #QuranTime (MQT) 2.0, Tuan Fazrul Ismail berkata kita perlu memahami konteks ayat 6 yang diturunkan di Madinah. Dari segi Asbabul Nuzul, Nabi Muhammad SAW berceramah dan mengingatkan kepada orang Yahudi di Madinah. Mereka sudah pun mendapat pelbagai peringatan sebelum itu, termasuk Taurat . Apabila Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH SWT, orang Yahudi tidak beriman.
Menurut Imam Al-Baghawi, ayat tersebut merujuk kepada orang musyrik di Makkah. Rasulullah SAW telah berceramah dan memberi nasihat selama 13 tahun di Makkah, tetapi masih tidak beriman. Maka golongan tersebut digelar orang kafir.
Istilah kafir atau kafaru tidak boleh digunakan kepada mereka yang belum kita ingatkan atau ajakan kepada Islam. Orang Yahudi di Madinah menentang Rasulullah SAW apabila diberi peringatan. Bagi orang yang diingatkan tetapi tidak melawan, mereka digelar orang bukan Islam atau istilahnya, musyrik iaitu orang yang mensyirikkan ALLAH SWT.
Istilah tersebut adalah penting untuk kita fahami agar tidak mudah melabelkan orang kafir, sedangkan kita mungkin tidak beri hak sebenar mereka. Kita perlu berusaha untuk mengajak mereka kepada hidayah ALLAH SWT.
Perkataan kafaru daripada kafara bermaksud menutup. Contoh biji benih ditutup dengan tanah yang dinamakan kafara. Dalam al-Quran ada perkataan kafir, nama lain bagi petani dalam Surah Al-Hadid. Ini kerana tugas petani yang meletakkan biji benih dan tutupkan dengan tanah itu, yang namanya kafara.
Orang kafir ada kebenaran tetapi mereka tutup dengan ego, dengki, sombong dan akhirnya tidak mendengar kepada peringatan daripada Nabi Muhammad SAW. Ayat 7, ALLAH memberi pengisytiharan bahawa hati, penglihatan dan pendengaran mereka telah dikunci, kesan sikap mereka yang diberi peringatan dalam jangka masa yang panjang tetapi tidak mengendahkannya.
Ayat 6-7 merupakan satu peringatan. Pada masa sama ia menjadi pujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang sudah berusaha tetapi mereka tidak menerimanya. Jadi, perkara tersebut bukanlah masalah Baginda SAW, tetapi kembali kepada ALLAH SWT.
Ia juga menjadi motivasi dan pujukan kepada kita yang sudah melakukan kerja untuk mengingatkan orang di sekeliling. Syaratnya kita mesti buat kerja dan bukannya terus menghukum atau membiarkan orang yang bukan Islam tidak mendapat hidayah ALLAH SWT.
Ayat 7 menyatakan ALLAH menutup hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan-penglihatan mereka. Pendengaran disebut satu sahaja kerana mengikut kajian sains, pendengaran kita mono, iaitu boleh mendengar satu perkara sahaja dan bergantung apa yang kita fokus.
Ayat tersebut menceritakan bagaimana deria kita berfungsi, apatah hati kita yang ada pelbagai perkara bergejolak di dalamnya. Hati orang kafir ditutup seketat-ketatnya sehingga tiada mendapat cahaya daripada ALLAH SWT. Golongan tersebut bukan sekadar menolak, malah menentang Islam. Di penghujung ayat 7, mereka diberi ancaman azab yang besar.
Namun kita janganlah menilai seseorang seolah-olah tiada harapan untuk berubah dalam kehidupan. Kisah Abu Sufyan Al-Harith yang selalu menentang Nabi Muhammad SAW, tetapi Baginda SAW terus memberi ingatan sehingga akhirnya beliau memeluk Islam.
Sebanyak 13 ayat dalam Surah Al-Baqarah, ALLAH menyatakan ciri-ciri hati yang sakit. Ia menjadi panduan kepada diri kita untuk menilai diri sendiri, sama ada “hati saya sakit atau tidak”, sebelum melihat orang lain.
Ayat 8, ALLAH SWT menceritakan kategori ketiga iaitu orang yang ada penyakit hati. Mereka mengaku beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, tetapi sebenarnya mereka tidak langsung beriman. Ini adalah ciri-ciri orang munafik. Tetapi ALLAH tidak membawa istilah munafik, agar kita sewenang-wenangnya melabelkan orang lain sebagai munafik.
Menurut Imam Al-Baghawi, golongan ketiga ini lebih buruk berbanding dua kategori lain. Apabila mereka bercakap, kita perlu berjaga-jaga. Mereka hanya bermanis mulut di hadapan orang beriman pada zaman Nabi Muhammad SAW. Apabila kita beriman, bercakaplah daripada hati kita. Hati inilah yang akan menjelma semula konsisten atu tidak apa yang kita nyatakan.
Dalam Ayat 9 menyatakan ciri-ciri hati yang sakit dalam kalangan orang munafik adalah mereka hendak menipu ALLAH dan orang-orang beriman, sedangkan mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa sedar.
Menurut ulama tafsir, golongan tersebut melakukan nifak atau munafik dalam dua bentuk iaitu akidah dan perbuatan. Mereka merugikan diri sendiri kerana menipu diri sendiri. Mereka mengambil kesempatan ke atas orang Islam untuk kepentingan sendiri, seperti peluang mendapatkan harta.
Golongan yang mempunyai penyakit hati berpura-pura baik tapi membuat kerosakan. Oleh itu, kita berdoalah kepada ALLAH SWT supaya dijauhkan daripada sifat-sifat munafik dalam bentuk akidah dan perbuatan seharian.
Resolusi:
- Sebarkan dakwah dan serahkan kepada ALLAH SWT (ayat 6)
- Jauhi keegoan yang menjadi punca hati mati untuk terima Islam (ayat 7-8)
- Jujur dalam setiap tindakan dan perbuatan kita (ayat 9)
Untuk menonton siri ulangan My #QuranTime 2.0, sila layari di Facebook My #QuranTime Official dan YouTube My #QuranTime. Anda boleh ikuti segmen bacaan Qari, Tajwid, Hafazan dan Pilihan Perkataan. Al-Quran Al-Hafiz terbitan Karya Bestari digunakan sebagai rujukan untuk hafazan.
INFO
Program My #QuranTime 2.0 didanai oleh Tabung Gerakan Al-Quran yang diuar-uarkan ketika My #QuranTime 1.0. Sumbangan Tabung Gerakan al-Quran boleh disalurkan ke akaun MAYBANK: 5642 7653 8528 rujukan: Tabung Quran (bit.ly/TabungQuran)
Comments on Verse